JAKARTA: Ratusan wanita berpakaian merah jambu menyertai protes ibu negara Indonesia hari ini, sambil membawa penyapu sebagai membantah keistimewaan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan kekejaman polis.
Kumpulan penunjuk perasaan itu membawa sepanduk bertulis ‘reformasi polis’, dengan Gabungan Wanita Indonesia menegaskan penyapu sebagai simbolik untuk membersihkan kotoran negara dan penindasan pasukan keselamatan.
Protes yang bermula di Jakarta minggu lalu menggegarkan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu, dengan demonstrasi merebak ke seluruh negara selepas kenderaan polis melanggar dan membunuh seorang penunggang e-hailing pada 28 Ogos.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, 10 orang terkorban dalam protes itu, yang turut mencetuskan beberapa insiden rompakan dan rusuhan.
Perikatan, sebuah gabungan kumpulan masyarakat sivil yang diketuai wanita, membatalkan rancangan protes pada 1 September lalu kerana bimbang berlakunya tindak balas ganas daripada pihak berkuasa.
“Kami mahu menunjukkan bahawa protes kebanyakannya aman,” kata Rizky Ananda, 30, yang menyertai demonstrasi membantah keganasan terhadap orang awam, khususnya wanita, serta pembaziran perbelanjaan kerajaan.
Presiden Prabowo Subianto berkata, tentera dan polis akan tetap tegas menghadapi keganasan, dan menyatakan sebahagian huru-hara itu mempunyai tanda-tanda pengkhianatan.
Prabowo membuat lawatan ke China untuk menghadiri perarakan ketenteraan besar-besaran hari ini, selepas pada awalnya membatalkan perjalanan kerana pergolakan tersebut.
Pejabatnya memaklumkan, situasi protes yang mulai reda menjadi faktor kepada keputusan beliau untuk meneruskan lawatan itu.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan sedang menjalankan siasatan berhubung tindakan pasukan keselamatan menangani protes berkenaan, kata Pesuruhjayanya, Anis Hidayah, kepada pemberita semalam.
Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin lalu, menggesa siasatan dijalankan terhadap semua dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk berkaitan penggunaan kekerasan.- AGENSI










