CAMBRIDGE: Kemerosotan ekonomi global bakal menjadi ancaman besar akibat perubahan iklim, menurut kajian baharu Universiti Cambridge yang memberi amaran pemanasan global boleh menjadikan purata pendapatan manusia 24 peratus lebih rendah menjelang tahun 2100.
Para penyelidik berkata, perubahan iklim akan menjejaskan semua negara sama ada beriklim panas atau sejuk, kaya mahupun miskin dengan peningkatan pengangguran, gaji rendah, penutupan perniagaan dan penurunan taraf hidup.
“Kajian kami menunjukkan bahawa perubahan iklim mengurangkan pendapatan di semua negara, tanpa pengecualian,” kata pasukan penyelidik dalam kenyataan mereka.
Saintis tersebut turut menambah bahawa kesannya melibatkan pelbagai industri termasuk pengangkutan, pembuatan dan runcit, bukan hanya sektor pertanian.
Kajian itu menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan pembakaran bahan api fosil bagi mengelakkan kerugian ekonomi yang lebih teruk.
Pemanasan global yang berpunca daripada aktiviti manusia, khususnya pembakaran arang batu dan bahan api lain, meningkatkan suhu udara yang membolehkan lebih banyak wap air terkumpul, lalu mencetuskan hujan lebat dan risiko banjir lebih tinggi.
Kenaikan paras laut dan banjir seterusnya memerlukan perbelanjaan berbilion dolar bagi membaik pulih bangunan rosak serta membina benteng pertahanan. Industri berdekatan pantai seperti pelancongan dan pertanian juga bakal terjejas.
Selain itu, kawasan tanaman akan berkurangan apabila banyak wilayah menjadi semakin kering, sekali gus menjejaskan pengeluaran makanan dan ekonomi global.
Semua faktor ini akan menurunkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita global, jumlah keluaran ekonomi dunia dibahagikan dengan populasi global dan menekan pendapatan purata manusia di seluruh dunia. – AGENSI










