NEW YORK: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Terbuka AS pada Ahad menyebabkan pertandingan tersebut ditangguhkan, apabila ribuan peminat tenis menghadapi kesukaran melepasi pemeriksaan keselamatan ketat.
Trump menyertai barisan selebriti lain untuk menyaksikan pertembungan antara Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz, dalam lawatan pertamanya ke kejohanan di New York itu.
Ketika wajahnya dipaparkan di skrin besar semasa perlawanan, Trump disambut dengan sorakan negatif (boo) yang kuat, diselang-seli dengan sedikit sorakan sokongan dan kehadirannya menyebabkan perlawanan bermula lewat 30 minit.
Menjelang set kedua, seorang wartawan AFP melaporkan kira-kira 250 orang masih beratur di luar venue, menunggu dalam barisan yang tidak bergerak untuk melepasi pemeriksaan keselamatan yang diperketatkan. Sepasang suami isteri dari Afrika Selatan memaklumkan mereka telah menunggu lebih satu jam.
Trump kali terakhir menghadiri Terbuka AS pada 2015, ketika itu sebagai calon presiden bersama isterinya Melania – dan turut dibo oleh penonton semasa ketibaan mereka.
Walaupun Trump mempunyai penyokong setia di beberapa kawasan di bandar kelahirannya itu, New York secara keseluruhannya menyokong kepada Demokrat, dan beliau sering menerima sambutan yang bercampur-campur.
Bagi penonton yang menyaksikan perlawanan Sinner-Alcaraz di televisyen, mereka mungkin tidak melihat sebarang reaksi negatif terhadap presiden itu kerana pihak penganjur dikatakan telah meminta penyiar untuk tidak menayangkan sebarang gangguan atau reaksi negatif, menurut beberapa laporan media AS.
Turut hadir bersama Trump ialah Peguam Negara Pam Bondi, Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt, dan Steve Witkoff, yang kini bertindak sebagai utusan Trump bagi misi keamanan.










