STRASBOURG, Perancis: Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengumumkan beliau akan mencadangkan sekatan dan penggantungan sebahagian perdagangan terhadap Israel susulan perang di Gaza.
Pengumuman itu disifatkan satu langkah mengejut memandangkan beliau sebelum ini dikenali sebagai penyokong kuat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Kesatuan Eropah (EU) yang dianggotai 27 negara kini berpecah dalam pendekatan terhadap konflik Israel-Palestin dan tidak jelas sama ada majoriti akan menyokong cadangan sekatan dan tindakan perdagangan tersebut.
Von der Leyen turut memaklumkan Suruhanjaya Eropah akan menubuhkan satu kumpulan penderma untuk Palestin bulan hadapan, sebahagian daripadanya akan memfokus kepada usaha pembinaan semula Gaza.
Katanya, apa yang berlaku di Gaza serta penderitaan kanak-kanak dan keluarga di sana telah “menggoncang hati nurani dunia.”
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 126 rakyat Palestin, termasuk 26 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran sejak pakar antarabangsa mengisytiharkan wabak kebuluran di Gaza City pada 22 Ogos lalu.
“Kebuluran yang dicipta manusia tidak boleh dijadikan senjata perang. Demi kanak-kanak, demi kemanusiaan ini mesti dihentikan,” ujar Von der Leyen.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, dalam kenyataan di media sosial, mengecam kenyataan Von der Leyen, dengan mendakwa beliau tunduk kepada tekanan yang melemahkan hubungan Israel–Eropah. Katanya, tindakan Von der Leyen hanya akan menguatkan semangat Hamas.
Kenyataan Von der Leyen dibuat susulan amaran tentera Israel kepada penduduk Gaza City supaya berpindah segera, sebelum pelan Israel untuk menguasai kawasan itu yang disifatkan sebagai kubu terakhir Hamas.
Menurut tentera Israel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan satu juta rakyat Palestin, atau hampir separuh penduduk Gaza, kini tinggal di kawasan utara Gaza sekitar Gaza City.
Von der Leyen turut memaklumkan Suruhanjaya Eropah akan membekukan semua bentuk sokongan dua hala kepada Israel yang diberikan oleh pihak eksekutif EU, satu tindakan yang tidak memerlukan kelulusan kesemua 27 negara anggota.
Walau bagaimanapun, tidak jelas jumlah bantuan kewangan yang diberikan oleh Suruhanjaya Eropah kepada Israel serta tujuan sebenar bantuan tersebut.










