WASHINGTON: Pentagon memperketat kawalan terhadap pengamal media dengan memberi amaran wartawan yang mendedahkan maklumat tanpa kebenaran bakal kehilangan akses ke bangunan berprofil tinggi itu.
Pentagon kini secara rasmi dikenali semula sebagai Jabatan Perang menggantikan nama sebelumnya, Jabatan Pertahanan AS.
Langkah kontroversi itu diumumkan susulan beberapa kebocoran maklumat yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk berkaitan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat.
Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth, dalam satu kenyataan di media sosial menulis:
“Media tidak mengawal Pentagon, rakyat yang mengawalnya. Media tidak lagi dibenarkan berkeliaran di dalam bangunan keselamatan ini. Pakai pas, ikut peraturan atau pulang.”
Bermula minggu ini, semua wartawan yang mahu mengekalkan akreditasi media Pentagon perlu menandatangani perjanjian baharu yang menyatakan mereka tidak akan menyiarkan sebarang maklumat sama ada diklasifikasikan atau tidak tanpa kelulusan rasmi daripada jabatan berkenaan.
Dokumen itu turut menyebut sebarang tindakan membocorkan maklumat yang dikategorikan sebagai sensitif atau terkawal boleh menyebabkan pas media mereka ditarik balik serta-merta.
Walaupun Pentagon menegaskan ia masih “komited terhadap ketelusan dan akauntabiliti”, nota taklimat kepada media menjelaskan langkah baharu ini adalah untuk “mengekang potensi kebocoran yang mengancam keselamatan negara.”
Jurucakap utama Pentagon, Sean Parnell, mempertahankan tindakan tersebut dan menegaskan peraturan baharu itu sebenarnya sejajar dengan amalan keselamatan yang telah lama digunakan di pangkalan tentera AS lain.
“Ini adalah garis panduan asas dan berlandaskan logik untuk melindungi maklumat sensitif serta menjamin keselamatan negara dan semua yang bekerja di Pentagon,” jelasnya.
Langkah baharu ini turut mencetuskan perbincangan hangat kerana Hegseth, sebelum ini dikritik hebat selepas didakwa membocorkan maklumat sulit mengenai serangan udara AS di Yaman dalam satu perbualan kumpulan WhatsApp yang disertai wartawan, Mac lalu.
Insiden itu berlaku selepas Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika ini, Michael Waltz, yang juga bekas penasihat keselamatan negara, secara tidak sengaja menambah seorang wartawan ke dalam kumpulan perbualan terbabit.










