WASHINGTON: Pentadbiran Presiden, Donald Trump membentangkan satu pelan damai 21 perkara bagi menamatkan perang di Gaza kepada para pemimpin Arab, sekali gus mencetuskan pertukaran pandangan antara mereka mengenai usaha mencapai cadangan akhir yang berpotensi menamatkan konflik itu.
Pada Rabu, Utusan Khas AS, Steve Witkoff menyatakan keyakinan akan ada sesuatu ‘kejayaan’ dalam tempoh terdekat tetapi enggan mengulas lanjut.
“Kami mengadakan sesi yang sangat produktif. Kami bentangkan apa yang kami panggil pelan 21 perkara Trump untuk kedamaian di Asia Barat, khususnya di Gaza
“Saya fikir ia merangkumi kebimbangan Israel, serta kebimbangan semua jiran di rantau ini. Kami berharap, malah boleh dikatakan yakin dalam beberapa hari akan datang, kami dapat mengumumkan satu kejayaan,” kata Witkoff mengenai pertemuan antara Trump, delegasi AS dan para pemimpin Arab itu.
Menurut sumber, pelan itu antara lain menuntut pembebasan semua tebusan, gencatan senjata kekal, kerangka pentadbiran Gaza tanpa Hamas serta cadangan pengunduran berperingkat Israel dari Semenanjung Gaza.
Sumber diplomatik serantau berkata, para pemimpin Arab menyokong sebahagian besar cadangan tersebut, namun mahu beberapa syarat ditambah dalam pelan akhir antaranya, tiada pengilhakan Tebing Barat, mengekalkan status quo Baitulmuqaddis, menamatkan perang di Gaza serta membebaskan semua tebusan Hamas, selain meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menangani isu penempatan haram Israel.
“Mesyuarat itu sangat berguna,” kata salah seorang diplomat, menjelaskan perincian penting lain turut dibincangkan.
Momentum baharu ini hadir selepas Israel melancarkan serangan maut terhadap Hamas di Doha, yang menghentikan semua rundingan melalui pihak ketiga antara Hamas dan Israel.
Susulan serangan itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio ketika lawatan ke rantau berkenaan memberi amaran masa semakin suntuk untuk mencapai persetujuan bagi menamatkan perang.
Menurut sumber serantau, Qatar menawarkan untuk terus menjadi pengantara dengan syarat mereka diberi jaminan tiada lagi serangan Israel di negara mereka selepas insiden awal bulan ini.
Para pemimpin bersetuju untuk mengadakan mesyuarat susulan dengan pentadbiran Trump bagi meneruskan usaha damai tersebut, dan pertemuan itu berlangsung pada Rabu bersama Rubio.
“Kerja yang sangat penting sedang berjalan ketika ini juga, berhubung masa depan Gaza dan rakyat Palestin,” katanya.
Kerajaan-kerajaan Eropah turut menerima ringkasan pelan umum yang dikemukakan pentadbiran Trump, dan dua diplomat Eropah memberitahu CNN, mereka melihatnya sebagai usaha baharu yang serius untuk menamatkan konflik.
Seorang lagi menyatakan pelan itu mampu menghalang Israel daripada terus mengilhak Tebing Barat, tindakan yang menurut mereka akan menggagalkan peluasan Perjanjian Abraham, matlamat yang sering dilaungkan pentadbiran Trump.
Cadangan baharu itu dikemukakan hanya sehari selepas Arab Saudi dan Perancis menganjurkan persidangan penyelesaian dua negara, yang diboikot AS dengan alasan menolak pengiktirafan negara Palestin, sesuatu yang menurut Trump hanya akan menghadiahkan kemenangan kepada Hamas.
Menurut Witkoff, pelan itu dikongsi bersama pemimpin dan pegawai dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia dan Pakistan pada Selasa.
Trump, yang kekal sebagai sekutu utama Israel di pentas dunia, berkata, beliau berbincang dengan pemimpin negara Asia Barat dan Netanyahu pada Khamis, sambil menyatakan perjanjian mengenai Gaza mungkin tercapai tidak lama lagi.
“Kami mahu para tebusan dibebaskan, mayat dikembalikan, dan keamanan tercapai di rantau itu. Jadi kami telah mengadakan perbincangan yang sangat baik,” katanya.











