Pembantaian Gaza perlu dimasukkan dalam kurikulum sekolah - Greta Thunberg - Utusan Malaysia

Pembantaian Gaza perlu dimasukkan dalam kurikulum sekolah – Greta Thunberg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Aktivis alam sekitar dari Sweden, Greta Thunberg, menyeru agar pembantaian yang berlaku di Gaza dimasukkan ke dalam kurikulum pendidikan di sekolah sebagai pengajaran penting mengenai jenayah genosid.

Beliau yang kini berusia 22 tahun membuat kenyataan itu ketika menyertai Global Sumud Flotilla, misi kapal bantuan kemanusiaan ke Palestin.

“Saya berpendapat sekolah perlu mendedahkan tanda-tanda awal berlakunya genosid, sama seperti Holocaust, dan mengaitkannya dengan apa yang sedang kita saksikan hari ini supaya perkara sebegini tidak berulang,” katanya dipetik portal The Times.

“Realitinya, sistem pendidikan sekarang gagal sama sekali mengajar kita memahami zaman bersejarah yang sedang kita lalui,” katanya lagi.

Di England, pembelajaran tentang Holocaust adalah sebahagian daripada kurikulum wajib di sekolah menengah, manakala 27 Januari setiap tahun turut dijadikan Hari Peringatan Holocaust bagi mengenang jutaan mangsa yang dibunuh Nazi Jerman ketika Perang Dunia Kedua serta tragedi genosid lain di Kemboja, Rwanda, Bosnia dan Darfur.

Beliau turut mengakui isu Palestin tidak pernah diajar secara telus di sekolah.

“Saya tidak pernah mempelajari apa yang berlaku di Palestin ketika di sekolah kerana ia sentiasa digambarkan sebagai ‘konflik’. Namun apabila anda tahu bahawa ia sebenarnya adalah genosid, penjajahan, apartheid dan pembersihan etnik, ia jauh berbeza daripada apa yang kita diajar,” katanya.

Menurut undang-undang antarabangsa, genosid ditakrifkan sebagai tindakan yang bertujuan memusnahkan secara keseluruhan atau sebahagian sesuatu kumpulan bangsa, etnik, kaum atau agama.

Kerajaan Britain minggu ini membuat kesimpulan tindakan Israel di Gaza tidak boleh dianggap sebagai genosid namun, sebuah jawatankuasa khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyatakan tindakan Israel adalah konsisten dengan ciri-ciri genosid.

Thunberg menegaskan kini sudah tidak dapat dinafikan lagi genosid sedang berlaku di Gaza. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN