DENPASAR: Gabenor Bali, Wayan Koster memaklumkan sektor pelancongan di pulau itu tidak terjejas malah meningkat ketika Indonesia berdepan tunjuk perasaan dan rusuhan sejak hujung minggu lalu.
Menurutnya, kedatangan pelancong antarabangsa kekal stabil, manakala pelancong tempatan dari beberapa wilayah semakin ramai memilih Bali sebagai destinasi percutian kerana bimbang dengan ketegangan di Jakarta.
“Setakat ini, tiada penurunan kedatangan pelancong. Malah, pelancong domestik semakin ramai datang ke Bali kerana keadaan di Jakarta tidak tenang,” katanya di Denpasar.
Koster memberi jaminan keadaan keselamatan di Bali terkawal dan kondusif malah mengesahkan tiada kemudahan awam atau bangunan kerajaan yang rosak akibat rusuhan.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Komnas HAM), sekurang-kurangnya 10 orang maut sementara lebih 900 cedera serta ribuan lagi ditahan dalam protes ganas di Indonesia yang tercetus sejak minggu lalu.
Petang semalam, kira-kira 300 ahli Perikatan Wanita Indonesia (API) dan Gerakan Mahasiswa Nasional Indonesia (GMNI) berhimpun di hadapan Parlimen di Jakarta menuntut kerajaan menghentikan keganasan terhadap orang awam serta mendesak menarik semula tentera yang ditempatkan bersama polis di beberapa kawasan.
Kumpulan yang turut menggesa Ketua Polis Negara, Listyo Sigit meletak jawatan dan menuntut pembebasan semua tahanan tanpa tuduhan itu bagaimanapun dilaporkan bersurai secara aman beberapa jam kemudian.
Beberapa anggota Polis Indonesia turut menjalani perbicaraan tatatertib bermula semalam, berhubung kematian penghantar makanan, Affan Kurniawan, selepas dirempuh kenderaan taktikal milik Brimob.
Sementara itu, Polis Indonesia mendedahkan sebahagian peserta rusuhan ganas itu dipercayai diumpan dengan bayaran wang tunai.
Ketua Bahagian Polis Metro Jaya, Komisioner Besar Ade Ary Syam Indradi berkata, pihaknya kini sedang menyiasat individu atau pihak yang disyaki memberikan imbuhan wang tunai.
Katanya, peserta yang hadir menyertai aksi demonstrasi didakwa dibayar antara 62,500 rupiah (RM16) hingga 200,000 rupiah (RM51), termasuk kepada kanak-kanak dan dewasa.
“Ada beberapa pihak yang sedang disiasat kerana dipercayai menawarkan imbuhan wang kepada kanak-kanak dan orang dewasa untuk hadir melakukan tindakan demonstrasi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polda Metro Jaya.










