SAN FRANCISCO: Ribuan pekerja yang memegang visa H-1B dari India serta China terpaksa membatalkan rancangan perjalanan mereka dan bergegas pulang ke Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Donald Trump mengenakan yuran baharu ke atas visa tersebut, selaras dengan tindakan tegas pentadbirannya terhadap imigran.
Syarikat teknologi dan bank segera mengeluarkan memo kecemasan kepada kakitangan, menasihatkan mereka pulang sebelum tarikh akhir 12.01 pagi Ahad (waktu tempatan) dan tidak meninggalkan negara buat masa ini.
Seorang pegawai Rumah Putih pada Sabtu menjelaskan perintah itu hanya terpakai kepada pemohon baharu dan bukan kepada pemegang visa sedia ada atau mereka yang mahu memperbaharui visa, sekali gus mengurangkan sedikit kekeliruan mengenai siapa yang sebenarnya terkesan.
Namun pengumuman Trump sehari sebelumnya sudah pun mencetuskan kebimbangan di Silicon Valley dan semua pemegang visa tersebut.
Lapor Reuters, syarikat besar termasuk Microsoft, Amazon, Alphabet dan Goldman Sachs turut mengeluarkan nasihat perjalanan kecemasan kepada pekerja mereka.
Bimbang tidak dapat kembali selepas peraturan baharu itu berkuat kuasa, beberapa warganegara India di Lapangan Terbang San Francisco berkata, mereka terpaksa memendekkan percutian.
“Ia situasi di mana kami perlu memilih antara keluarga atau terus tinggal di sini,” kata seorang jurutera di syarikat teknologi AS.
Menurut lelaki itu, isterinya menaiki pesawat Emirates dari San Francisco ke Dubai pada Jumaat petang bagi menjaga ibunya yang sakit tetapi penerbangan tersebut tertangguh lebih tiga jam selepas beberapa penumpang India meminta untuk turun daripada pesawat.
Seorang pengguna Rednote pula menyifatkan dirinya sebagai ‘hamba H-1B’ selepas terpaksa memendekkan percutian di Tokyo dan kembali segera ke AS, menyamakannya dengan kepulangan pantas ala filem Fast & Furious.










