Negara Teluk setuju tingkat perkongsian risikan susulan serangan Israel

Negara Teluk setuju tingkat perkongsian risikan susulan serangan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Menteri-Menteri Pertahanan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semalam mengumumkan langkah segera memperkukuhkan keselamatan kolektif susulan serangan udara Israel ke atas Qatar pada 9 September lalu.

Dalam kenyataan bersama, Majlis Pertahanan Bersama Teluk memutuskan untuk mempertingkatkan perkongsian risikan melalui Komando Ketenteraan Bersatu, menyediakan gambaran operasi udara bersama di seluruh Teluk serta mempercepatkan pembangunan sistem amaran awal peluru berpandu balistik.

Mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar, Khalid bin Mohamed Al-Attiyah itu turut dihadiri pegawai kanan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Arab Saudi dan Oman.

Antara keputusan lain termasuk mengemas kini rancangan pertahanan bersama, mengadakan latihan koordinasi antara pusat operasi dan pertahanan udara dalam tempoh tiga bulan, selain menganjurkan latihan udara berskala besar.

“Serangan berbahaya ini adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Serangan ke atas Qatar adalah serangan ke atas semua negara anggota GCC,” tegas kenyataan itu.

Menteri-menteri berkenaan turut menyuarakan sokongan penuh terhadap sebarang langkah yang diambil Doha bagi mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah, selain memberi amaran serangan tersebut menjejaskan usaha Qatar sebagai pengantara rundingan gencatan senjata di Gaza.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas mesyuarat Ketua-Ketua Tentera negara Teluk di Doha yang memberi tumpuan terhadap pengukuhan keupayaan cegah rintang dan penilaian ancaman serantau.

9 September lalu, serangan udara Israel ke atas Doha mengorbankan lima anggota Hamas serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sekali gus mencetuskan kecaman keras daripada Doha yang menegaskan hak mempertahankan kedaulatannya serta berikrar memastikan pihak bertanggungjawab diadili.

Serangan tersebut berlaku ketika Qatar, bersama Mesir dan Amerika Syarikat (AS), sedang mengusahakan rundingan tidak langsung antara Hamas dan Israel bagi mencapai gencatan senjata serta pertukaran tahanan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×