Menteri Israel desak Netanyahu terus rampas Tebing Barat, sambung genosid Gaza

Menteri Israel desak Netanyahu terus rampas Tebing Barat, sambung genosid Gaza

RIBUAN penunjuk perasaan menyertai demonstrasi membantah kekejaman Israel di Gaza di Cape Town, Afrika Selatan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ketegangan antara Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak apabila pemimpin penduduk haram Yahudi dan menteri-menteri sayap kanan melancarkan tekanan terbuka terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Mereka mendesak supaya Netanyahu menolak pelan damai Presiden AS Donald Trump dan merampas kawasan Tebing Barat tanpa menamatkan perang di Gaza selagi Hamas belum ditewaskan sepenuhnya.

Kenyataan lantang itu muncul selepas Trump dengan tegas menyatakan AS tidak akan membiarkan Israel merampas Tebing Barat.

Kenyataan Trump itu segera mendapat tentangan daripada ahli politik kanan Israel yang menyifatkannya sebagai mencabul hak Israel terhadap wilayah yang didakwa sebagai sebahagian daripada tanah bersejarah mereka.

PELAN DAMAI TRUMP

Menurut dokumen yang mengandungi 21 usul akhiri perang di Gaza, pentadbiran Trump mengemukakan rancangan bagi menamatkan genosid, membebaskan semua tebusan, menyingkirkan Hamas dari Gaza, dan mewujudkan laluan ke arah pembentukan sebuah negara Palestin di masa depan.

Wakil Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff menyatakan satu perkembangan penting dijangka berlaku dalam beberapa hari akan datang.

Pelan tersebut sudah dibentangkan Trump dalam pertemuan dengan negara-negara Arab dan Islam semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) awal minggu ini.

Namun, pelan yang membuka kemungkinan kepada pembentukan negara Palestin dianggap sebagai ‘garis merah’ oleh Netanyahu.

“Memberi Palestin sebuah negara satu batu dari Baitulmuqaddis selepas 7 Oktober ada­lah seper­ti memberi Al-Qaeda negara sa­tu batu dari New York selepas 11 September.

“Ini gila. Kami tidak akan benarkan ia berlaku dan Israel tidak akan membiarkan sebuah negara pengganas dipaksa ke atas kami,” katanya.

NETANYAHU TERUS DITEKAN AS

Menjelang pertemuan Netanyahu dengan Trump, laporan media Channel 12 menyebut perdana menteri dan pasukannya menjangka mereka perlu membuat ‘konsesi yang menyakitkan dan signifikan’, termasuk menerima peranan semula Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Gaza selepas perang, satu perkara yang bertentangan dengan dasar kabinet Israel ketika ini.

BENJAMIN NETANYAHU

AS juga dilaporkan mengenakan tekanan kuat terhadap Qatar supaya memujuk Hamas menerima pelan Trump dalam usaha mengalihkan tekanan diplomatik kepada Netanyahu.

Siaran lain oleh penyiar awam Kan menyebut Netanyahu menyatakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa komponen pelan tersebut, terutama yang melibatkan penglibatan PA, namun sumber dalaman memaklumkan sebahagian besar pelan masih boleh diterima oleh Israel.

SAYAP KANAN MAHU RUNTUHKAN KERAJAAN ISRAEL

Sebagai reaksi balas terhadap tekanan AS, Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben Gvir menegaskan Netanyahu tidak mempunyai mandat untuk menamatkan perang tanpa kekalahan total Hamas.

Menteri Kewangan Bezalel Smotrich pula menetapkan tiga tuntutan utama berkaitan pelan damai Trump iaitu tiada peranan untuk PA di Gaza atau Tebing Barat; Hamas mesti dilenyapkan sepenuhnya dan dilucutkan senjata dan Israel mesti merampas kawasan tertentu di Tebing Barat, tanpa mengiktiraf negara Palestin.

Smotrich, ketua Parti Zionisme Agama sudah lama menentang pembentukan negara Palestin dan menyokong peluasan penempatan Israel di wilayah-wilayah tersebut.

ADA YANG MAHU AKHIRI PERANG

Namun tidak semua dalam kerajaan sehaluan. Menteri Luar Negeri Gideon Sa’ar menyatakan kepercayaan terhadap Netanyahu dalam mewakili kepentingan Israel, tetapi turut menegaskan keutamaan sekarang ialah menamatkan perang dan mencapai objektif strategik.

Moshe Gafni, ketua faksi Degel Hatorah, berkata partinya menyokong penyelesaian yang mengutamakan pengakhiran perang dan pembebasan tebusan.

Ketua Pembangkang Yair Lapid mengulangi kesediaannya untuk memberi ‘jaring keselamatan politik’ kepada kerajaan Netanyahu bagi menyokong perjanjian tebusan.

Dalam langkah dramatik, Majlis Penempatan Yesha menghantar delegasi kecemasan ke AS untuk berjumpa dengan Netanyahu sebelum pertemuannya dengan Trump. Mereka menegaskan Tebing

Barat harus berada di bawah kedaulatan penuh Israel.

“Hanya kedaulatan di Judea dan Samaria adalah kemenangan. Perbezaan pendapat antara sahabat adalah biasa,” kata Yossi Dagan, ketua Majlis Serantau Samaria, merujuk kepada nama alkitabiah bagi Tebing Barat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN