NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran masa semakin suntuk untuk mengelakkan kebuluran merebak lebih parah di Gaza, sambil menggesa Israel membenarkan penghantaran bantuan tanpa halangan ke wilayah itu yang kini terus dibedil.
Menurut badan pemantau kelaparan global, ratusan ribu penduduk Palestin di Gaza, termasuk di Gaza City kini berada pada tahap mengalami atau berisiko tinggi kebuluran.
Israel pada Mac hingga pertengahan Mei lalu menghentikan semua bantuan selama 11 minggu, sebelum membuka semula secara terhad.
“Tingkap masa yang ada hanya sehingga akhir September untuk menghalang kebuluran merebak ke Deir al-Balah dan Khan Younis. Tempoh itu semakin hampir tertutup,” demikian menurut Ketua bantuan kemanusiaan PBB, Tom Fletcher.
Namun, agensi pertahanan Israel yang mengurus hal ehwal kemanusiaan, COGAT, mendakwa lebih 1,900 trak membawa bekalan makanan berjaya disalurkan ke Gaza sepanjang minggu lalu.
“Kami akan terus memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan untuk penduduk awam Gaza,” kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, tentera Israel melancarkan serangan baharu ke pinggir Gaza City dan kini berada hanya beberapa kilometer dari pusat bandar.
Penduduk awam diberi amaran untuk meninggalkan bangunan tinggi yang didakwa digunakan Hamas sebelum ia dibom, namun tiada bukti dikemukakan.
Israel turut menggesa penduduk Gaza City berpindah ke Khan Younis di selatan, walaupun kawasan itu kini sesak dengan ratusan ribu pelarian yang hidup dalam khemah di tepi pantai.










