TEL AVIV: Mahkamah Agung Israel memutuskan kerajaan negara haram itu gagal menyediakan makanan mencukupi kepada tahanan Palestin untuk kelangsungan hidup asas, dan mengarahkan pihak berkuasa memperbaiki tahap pemakanan mereka.
Keputusan itu merupakan antara kes yang jarang berlaku menyaksikan mahkamah tertinggi negara memutuskan menentang tindakan kerajaan.
Sejak perang bermula, Israel menahan ribuan individu di Gaza yang disyaki mempunyai kaitan dengan Hamas.
Pertubuhan hak asasi manusia merekodkan pelbagai bentuk penyalahgunaan di penjara dan pusat tahanan, termasuk kekurangan makanan dan rawatan kesihatan, keadaan sanitasi yang teruk serta penderaan fizikal.
Pada Mac, seorang remaja lelaki Palestin berusia 17 tahun meninggal dunia di sebuah penjara Israel, dan doktor mengesahkan kebuluran mungkin menjadi punca utama kematiannya.
Keputusan Mahkamah pada Ahad itu adalah susulan petisyen yang difailkan tahun lalu oleh Persatuan Hak Sivil di Israel (ACRI) dan kumpulan hak asasi Israel, Gisha.
Kedua-dua kumpulan tersebut mendakwa perubahan dasar makanan yang diperkenalkan selepas perang bermula telah menyebabkan tahanan mengalami kekurangan zat makanan dan kebuluran.
Dalam keputusan mahkamah, panel tiga orang hakim sebulat suara menyatakan Israel berkewajiban secara undang-undang untuk menyediakan makanan yang mencukupi bagi menjamin ‘tahap kewujudan asas’.
Dalam keputusan 2-1, para hakim berkata, mereka mendapati bekalan makanan semasa tidak mencukupi untuk memenuhi piawaian undang.










