LONDON: Seorang bekas pekerja landskap di United Kingdom (UK) terpaksa meninggalkan pekerjaannya selepas disahkan menghidap alergi terhadap air iaitu keadaan yang amat jarang berlaku di dunia.
James Richardson, 33, mula mengalami alahan tersebut kira-kira tiga bulan lalu selepas dipercayai digigit serangga. Walaupun kesan gigitan sudah hilang, dia kini mengalami aquagenic urticaria, iaitu keadaan di mana kulit akan timbul ruam dan gatal teruk setiap kali bersentuhan dengan air.
“Kalau setitis air terkena kulit, saya rasa teramat sakit,” kata James, yang kini tergolong antara kira-kira 100 orang sahaja di seluruh dunia yang menghidap keadaan ini.
Keadaan cuaca UK yang kerap hujan menyebabkan James tidak lagi mampu bekerja sebagai tukang landskap.
“Saya tak boleh buat apa-apa. Kalau hujan, saya memang tak boleh pergi kerja,” katanya.
Lebih membimbangkan, James turut mengalami reaksi alahan apabila minum air, menyebabkan tubuhnya kejang.
Kini dia hanya minum susu untuk kekal terhidrat. Jika mengambil makanan yang tinggi kandungan air, perutnya akan kembung luar biasa seperti wanita mengandung.
James mula menyedari gejala tersebut pada 6 Julai apabila mendapati lepuh di buku lali. Doktor pada awalnya menyangka ia kesan gigitan serangga dan memberinya antihistamin.
Namun dua hari kemudian, keadaan menjadi kritikal apabila dia mengalami kejutan anafilaksis selepas minum air, menyebabkan tekak dan bibirnya membengkak.
Selepas menjalani imbasan kecemasan dan menerima rawatan steroid serta antihistamin, doktor mengakui mereka masih bingung dengan punca sebenar alahan yang jarang berlaku itu. -AGENSI










