BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra mendakwa beliau mengarahkan juruterbang jet peribadinya menukar destinasi dari Singapura ke Dubai, kerana lapangan terbang peribadi di Singapura ditutup.
Bagaimanapun, beliau berjanji akan kembali ke Thailand selewat-lewatnya pada 8 Ogos bagi mendengar keputusan mahkamah pada keesokan harinya.
Mahkamah Agung, Bahagian Jenayah untuk Pemegang Jawatan Politik dijadualkan untuk menyampaikan keputusan dalam kes kontroversi “Tingkat 14 Hospital Polis”, di mana beliau dituduh mengelak hukuman penjara dengan mendakwa dirinya terlalu sakit, sehingga memerlukan rawatan di Hospital Polis (PGH) selama enam bulan, tanpa menghabiskan walau sehari pun dalam penjara sebelum dibebaskan secara parol.
Bekas perdana menteri itu bersama beberapa ahli keluarga yang tidak dinyatakan identitinya dilihat berada di terminal jet peribadi Lapangan Terbang Don Mueang pada petang semalam, menaiki jet peribadi Bombardier Global 7500 yang pada awalnya dilaporkan menuju ke Singapura untuk pemeriksaan kesihatan.
Dalam hantaran di platform X yang diterbitkan selepas pesawatnya mendarat di Dubai, Thaksin mendakwa beliau ditahan oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Don Mueang selama hampir dua jam, menyebabkan pesawatnya tidak dapat mendarat di Lapangan Terbang Peribadi Seletar di Singapura, yang biasanya beroperasi hingga sekitar pukul 10 malam.
Apabila pesawat tidak dapat mendarat di sana, juruterbangnya telah memohon kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Dubai dan setelah kebenaran diberi, pelan penerbangan diubah, katanya.
Menurut laman Flightradar24, pesawat peribadi Thaksin, penerbangan T7GTS, menyimpang daripada laluan asalnya, merentasi Malaysia dan terbang ke arah Laut Andaman dan Lautan Hindi.
Pada pukul 9.35 malam, pesawat itu memasuki corak penahanan (holding pattern) di atas Laut Andaman sebelum meneruskan penerbangan ke arah Timur Tengah. Pada pukul 10.10 malam, pesawat itu kekal di laluan jelas menuju ke Timur Tengah.
Menjelang pukul 11.20 malam, pesawat tersebut sudah memasuki ruang udara India, menuju ke arah Dubai dan Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu.
Pesawat Thaksin mendarat di Lapangan Terbang Dubai pada pukul 11.40 malam waktu tempatan (2.40 pagi waktu Thailand). Penerbangan dari Don Mueang ke Dubai mengambil masa tujuh jam 22 minit.










