BEIRUT: Kumpulan Palestin di kem pelarian terbesar di Lubnan akur menyerahkan senjata mereka sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melucutkan senjata pergerakan bukan negara.
Abdel Hadi al-Asadi daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) berkata, badan payung itu melaksanakan operasi menyerahkan kumpulan baharu senjata mereka.
Tentera Lubnan mengesahkan pihaknya menerima lima lori dipenuhi senjata dari kem Ain al-Hilweh di Sidon serta tiga lagi lori dari kem Beddawi di Tripoli.
“Penyerahan itu termasuk pelbagai jenis senjata, peluru berpandu dan peluru,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Seorang wartawan AFP berhampiran Ain al-Hilweh melaporkan kenderaan tentera Lubnan ditempatkan di sekitar kem, menghalang sesiapa daripada mendekati kawasan itu.
Menurut kumpulan pejuang Palestin itu, kem Beddawi yang padat penduduk di utara Tripoli pernah diserang Israel tahun lalu, yang mengorbankan seorang komander Hamas, isterinya serta dua anak perempuan mereka.
Hamas dan sekutunya, Jihad Islam yang bukan sebahagian daripada PLO masih belum mengumumkan rancangan untuk melucutkan senjata di Lubnan.
Menurut Ketua Agensi Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Lubnan menempatkan kira-kira 222,000 pelarian Palestin, dengan ramai tinggal di kem yang sesak di luar kawalan negara.
Menurut konvensyen terdahulu, tentera Lubnan tidak campur tangan di kem pelarian Palestin dan menyerahkan urusan keselamatan kepada paksi pergerakan itu sendiri.
Namun bulan lalu, Kabinet Lubnan memutuskan untuk mengehadkan semua senjata, termasuk yang dimiliki Hezbollah dan tentera diberi mandat untuk melaksanakan keputusan itu sebelum penghujung tahun 2025.
Namun, Setiausaha Agung Hezbollah, Naim Qassem menegaskan kumpulannya tidak akan melepaskan senjata selagi Israel tidak berundur dari wilayah Lubnan yang didudukinya, menghentikan pencerobohan, membebaskan tahanan, serta memulakan usaha pembinaan semula.
Gencatan senjata dicapai pada November 2024 selepas berbulan-bulan pertempuran rentas sempadan antara Israel dan Hezbollah, termasuk perang berskala penuh pada September 2024.
Mengikut perjanjian gencatan senjata itu, Israel sepatutnya berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan menjelang Januari, namun sehingga kini hanya sebahagian pasukan dibawa keluar dan rejim Zionis masih mengekalkan kehadiran tentera di lima pos sempadan.-AFP










