Korea Utara buka restoran di Moscow, wajibkan pelanggan bawa pasport

Korea Utara buka restoran di Moscow, wajibkan pelanggan bawa pasport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Korea Utara membuka sebuah restoran baharu di ibu negara Russia ketika hubungan kedua-dua negara semakin erat, sekali gus mencetuskan perhatian kerana syarat pelik yang dikenakan kepada pelanggan.

Restoran yang dinamakan Pyongyang itu menyajikan pelbagai hidangan tradisional Korea Utara seperti bibimbap, ayam goreng dan kimchi, selain dihiasi dengan ideologi serta unsur hiburan dari negara berkenaan.

Menurut laporan NEXTA, televisyen di dalam restoran berkenaan menyiarkan rancangan Korea Utara, manakala lagu-lagu pop dari Pyongyang turut dimainkan.

Turut diperdengarkan lagu penyanyi pro-Kremlin, Shaman, yang baru-baru ini mengadakan konsert khas untuk pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Majalah yang memaparkan gaya hidup di Pyongyang turut disediakan untuk pelanggan sambil menikmati hidangan.

Bagaimanapun, pelanggan yang ingin makan di situ diwajibkan membawa pasport, manakala sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke Korea Selatan dilarang sama sekali masuk.

Lebih mencabar, semua pekerja restoran tersebut adalah rakyat Korea Utara yang dilaporkan kurang memahami bahasa Russia, sekali gus menyukarkan pelanggan membuat pesanan.

Keputusan membuka restoran dan membawa masuk tenaga kerja dari Korea Utara di Moscow dilihat melanggar sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Pyongyang, menurut NK News.

Namun, Korea Utara dilapor tidak mengendahkan perkara itu dan berhasrat memperluaskan rangkaian restoran antarabangsa bagi menarik pelaburan asing.

Langkah membuka restoran ini turut berlaku ketika Pyongyang giat menjalankan ujian dron nuklear bawah laut yang digelar sebagai senjata ‘tsunami radioaktif’.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×