FUJIAN: Sebuah kawasan perkampung terpencil di tenggara China mendapat jolokan ‘kampung PhD’ selepas mencatat kejayaan luar biasa melahirkan 33 penduduk bergelar Doktor Falsafah daripada universiti terkemuka dalam dan luar negara.
Kampung Pengdao, yang terletak di bandar Nanan di wilayah Fujian, China mula menjadi bualan hangat hujung Ogos lalu selepas video majlis penyampaian biasiswa secara besar-besaran di balai khas kampung itu tular di media sosial tempatan, lapor Xiaoxiang Morning Herald.
Majlis berprestij itu, yang baru kali kedua diadakan dalam sejarah kampung tersebut, ditaja oleh Tabung Pendidikan Keluarga Guo memandangkan sebahagian besar penduduk kampung berketurunan Guo.
Pada majlis tersebut, seorang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di Universiti Tsinghua diraikan bersama 15 pelajar yang bakal memulakan pengajian sarjana serta 46 pelajar ijazah sarjana muda yang akan memasuki universiti pada September ini.
Pelajar-pelajar cemerlang itu dilihat mengenakan selempang merah bertulis ‘Wu Zu Zhi Guang’ atau ‘Kebanggaan Keturunan Kami’, sambil memegang colok dan memberi penghormatan kepada nenek moyang mereka.
Secara keseluruhan, tabung pendidikan itu mengagihkan biasiswa bernilai 217,000 yuan (RM128,570), dengan penerima tertinggi menerima sebanyak 8,000 yuan (RM4,740).
Sehingga kini, 33 anak kampung tersebut berjaya memperoleh gelaran PhD dari universiti tersohor seperti Universiti Tsinghua, Universiti Hong Kong, Universiti Cambridge di Britain dan Universiti Cornell di Amerika Syarikat (AS).
Walaupun terletak di kawasan pedalaman berbukit dan dahulunya berdepan kemiskinan akibat kekurangan tanah pertanian, penduduk Pengdao sejak dahulu menekankan kepentingan pendidikan sebagai jalan keluar daripada kemiskinan.
Pengarah Tabung Pendidikan Keluarga Guo, Guo Dongyu berkata, tradisi menghargai ilmu sudah lama berakar dalam masyarakat kampung itu.
“Anugerah ini diwujudkan untuk menggalakkan anak muda menghargai tanah air dan kampung halaman, aktif dalam kerja kebajikan, dan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.
Kejayaan Kampung Pengdao kini menjadi fenomena di media sosial China di mana ada pengguna yang menyatakan suasana baik di kampung tersebut mendorong setiap orang untuk berjaya manakala seorang lagi warganet berseloroh ingin berpindah ke kampung tersebut dengan anaknya. -AGENSI










