Kabel bawah laut Laut Merah terputus punca gangguan internet Asia Barat, Asia Selatan - Utusan Malaysia

Kabel bawah laut Laut Merah terputus punca gangguan internet Asia Barat, Asia Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Beberapa negara di Asia Barat dan Asia Selatan mengalami gangguan internet selepas berlakunya kerosakan pada beberapa kabel bawah laut di Laut Merah, menurut kenyataan syarikat teknologi gergasi, Microsoft, pada Ahad.

“Laluan trafik rangkaian yang melalui Asia Barat mungkin mengalami kelewatan (latency) akibat kerosakan kabel gentian optik bawah laut di Laut Merah,” tulis Microsoft dalam kemas kini status di laman web rasminya.

Perkhidmatan pengkomputeran awan Microsoft Azure yang kedua terbesar di dunia selepas Amazon itu terjejas akibat insiden yang bermula awal pagi Sabtu lalu. Bagaimanapun, syarikat berkenaan menjelaskan trafik internet global secara umum tidak terjejas.

Pemantau rangkaian global NetBlocks melaporkan gangguan sambungan internet di Arab Saudi, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan India, menyebabkan capaian internet perlahan dan tidak stabil.

NetBlocks menyatakan masalah itu berpunca daripada kegagalan sistem kabel SMW4 dan IMEWE berhampiran Jeddah, Arab Saudi.

Di Pakistan, penyedia telekomunikasi utama, Pakistan Telecommunications, mengeluarkan amaran kepada pengguna perkhidmatan mungkin mengalami gangguan ketika waktu puncak, namun menegaskan rakan antarabangsa sedang berusaha memulihkan sistem.

Kabel bawah laut merupakan tulang belakang internet global, menghubungkan Asia dengan Eropah melalui Asia Barat yang menjadi hab utama. Infrastruktur ini terdedah kepada kerosakan akibat sauh kapal atau serangan yang disengajakan, yang boleh mencetuskan gangguan besar-besaran.

Awal tahun 2024, kerajaan Yemen di luar negara pernah menuduh kumpulan Houthi merancang menyerang kabel bawah laut di Laut Merah. Beberapa kabel dilaporkan terputus, namun kumpulan itu menafikan bertanggungjawab. Pada Ahad, televisyen milik Houthi, Al Masirah, mengakui berlaku pemotongan kabel dengan memetik laporan NetBlocks.

Kejadian ini berlaku ketika Microsoft berdepan kritikan berhubung hubungannya dengan Israel di tengah perang di Gaza. Laporan media antarabangsa mendakwa perkhidmatan Azure digunakan untuk menyimpan maklumat bagi kegunaan ketenteraan Israel, termasuk panggilan telefon rakyat Palestin yang dipintas.

Microsoft menafikan perkara itu tetapi melaksanakan siasatan dalaman pada Ogos lalu. Syarikat tersebut juga telah memecat empat pekerja yang menyertai protes di premis syarikat berhubung isu hubungan dengan Israel. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN