BERLIN: Angkatan Tentera Jerman merangka persediaan merawat sehingga 1,000 anggota yang cedera setiap hari sekiranya tercetus konflik berskala besar antara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Russia.
Langkah itu diambil susulan amaran berterusan NATO mengenai Moscow berkemungkinan mempunyai keupayaan melancarkan serangan seawal tahun 2029.
Walaupun Russia menolak dakwaan pihaknya sedang bersedia untuk berperang dengan pakatan Barat, siri pencerobohan jet pejuang dan dron negara itu ke ruang udara NATO kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan akan berlakunya eskalasi.
Pakar Bedah Tentera Jerman, Jeneral Ralf Hoffmann berkata jumlah kecederaan bakal dihadapi bergantung kepada tahap intensiti pertempuran dan unit tentera yang terlibat.
“Secara realistiknya, kita bercakap mengenai kira-kira 1,000 anggota cedera sehari,” katanya dalam temu bual bersama Reuters.
Selepas pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada 2022, konflik terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua kebanyakan tentera Eropah meningkatkan persediaan termasuk perkhidmatan perubatan.
Menurut Hoffmann, Jerman turut menyesuaikan latihan perubatan ketenteraan dengan mengambil iktibar daripada pengalaman perang di Ukraine.
“Bentuk peperangan telah berubah dengan ketara di Ukraine,” katanya sambil menjelaskan kecederaan akibat tembakan kini semakin digantikan dengan kecederaan letupan serta melecur akibat serangan dron dan senjata berpandu.
Menurut Hoffmann, mangsa yang cedera akan menerima rawatan awal di barisan hadapan sebelum dibawa pulang ke Jerman untuk rawatan lanjut di hospital awam, dengan anggaran keperluan kira-kira 15,000 katil daripada kapasiti 440,000 katil hospital di negara itu.
Beliau turut menjelaskan perkhidmatan perubatan tentera Jerman yang kini berjumlah 15,000 anggota akan diperluas bagi memenuhi keperluan masa hadapan. -AGENSI











