TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan Israel kini sedang merangka pelan gencatan senjata baharu bersama pentadbiran Rumah Putih, menjelang pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini.
Pengumuman itu dibuat ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak agar Israel menghentikan serangan ke atas Gaza, terutama selepas angka korban meningkat mendadak akibat serangan darat dan udara berterusan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 66,000 rakyat Palestin terkorban sejak konflik tercetus pada 7 Oktober 2023.
Dalam pertemuan di Rumah Putih, Trump dijangka membentangkan cadangan damai baharu yang dirangka oleh pasukannya.
Sumber Arab yang dimaklumkan mengenai kandungan cadangan tersebut menyatakan pelan itu merangkumi gencatan senjata serta-merta; pembebasan semua tebusan dalam tempoh 48 jam dan pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza
“Kami berusaha ke arah itu. Ia belum dimuktamadkan, tetapi kami bekerjasama dengan pasukan Presiden Trump, malah pada saat ini juga,” kata Netanyahu dalam wawancara eksklusif bersama Fox News Sunday.
Walaupun bersedia untuk mempertimbangkan pelan damai, Netanyahu tetap berpegang pada pendirian Israel mesti menghancurkan Hamas sepenuhnya.
Namun, beliau membuka ruang rundingan dengan menyatakan pejuang Hamas boleh meninggalkan Gaza secara sukarela jika semua tebusan dibebaskan dan perang dihentikan.
“Tawaran ini masih terbuka, bebaskan tebusan, hentikan serangan, dan tinggalkan Gaza,” tegas Netanyahu.
Dalam ucapan di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada Jumaat lalu, Netanyahu menegaskan bahawa Israel “mesti menyelesaikan misinya” menentang Hamas.
Beliau turut mendedahkan 48 orang tebusan masih ditahan di Gaza, dengan sekitar 20 daripadanya dipercayai masih hidup.










