WASHINGTON: Seorang pegawai kanan Israel memberi amaran pemimpin-pemimpin Hamas yang terselamat dalam serangan udara di Doha baru-baru ini akan menjadi sasaran dalam operasi ketenteraan seterusnya, sekaligus meningkatkan ketegangan ketika rundingan damai masih berlangsung.
Serangan pada 9 September lalu, yang menyasarkan kepimpinan tertinggi Hamas di ibu negara Qatar, berlaku serentak dengan rundingan gencatan senjata yang sedang dimediasi oleh Doha.
Tindakan Israel itu telah mencetuskan kecaman hebat dari Qatar serta kritikan langsung daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam temu bual bersama Fox News, Duta Israel ke Amerika Syarikat, Yechiel Leiter, menyatakan operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha “menghapuskan musuh keamanan dan tamadun Barat”, dan menegaskan Israel tidak akan berhenti selagi semua pemimpin Hamas belum dimusnahkan.
“Jika kami gagal kali ini, kami akan berjaya pada serangan berikutnya,” katanya.
Walaupun lima anggota Hamas terbunuh, termasuk anak kepada ketua perunding Khalil al-Hayya serta seorang anggota keselamatan Qatar, pemimpin utama Hamas seperti Suhail al-Hindi dan Khaled Meshal dilaporkan terselamat.
Serangan ini menimbulkan kemarahan Qatar, yang menyifatkannya sebagai “serangan pengecut” dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Malah, ia dilakukan ketika delegasi Hamas berada di Doha bagi membincangkan cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Washington.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, memberi amaran tindakan Israel berisiko menggagalkan sepenuhnya rundingan damai yang telah diusahakan selama hampir dua tahun.
Presiden Trump pula menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap tindakan unilateral Israel, menyifatkannya sebagai langkah yang tidak membantu proses damai, terutama apabila ia dilakukan di wilayah sekutu utama AS.
Israel bagaimanapun mempertahankan serangan itu sebagai satu “operasi sah dan perlu”, dengan alasan bahawa individu yang disasarkan bertanggungjawab terhadap serangan berdarah pada 7 Oktober 2023 serta konflik berterusan di Gaza.










