Israel kini ancaman utama negara Teluk, atasi nuklear Iran

Israel kini ancaman utama negara Teluk, atasi nuklear Iran

AKTIVIS daripada parti Jamaat-e-Islami Pakistan berarak sambil memegang sepanduk membantah serangan udara Israel terhadap pemimpin Hamas di Qatar, dalam protes di Islamabad pada Rabu lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Serangan Israel di ibu negara Qatar minggu ini menandakan perubahan besar dalam landskap keselamatan Asia Barat, dengan rejim kini dilihat menggantikan Iran sebagai ancaman utama kepada negara-negara Teluk.

Serangan yang membunuh perunding Hamas ketika rundingan damai sedang dijalankan di Doha, mencabar keyakinan pemerintah Teluk mengenai hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan kewujudan pangkalan tenteranya mampu menjamin keselamatan mereka.

Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara di Chatham House, Sanam Vakil berkata, tindakan Israel menyerang wilayah Qatar, sekutu rapat Washington, membawa mesej Teluk tidak lagi kebal.

Selama ini, negara Arab menumpukan kebimbangan terhadap Iran, namun langkah Israel semakin dilihat sebagai faktor utama ketidakstabilan serantau.

“Ini bukan kali pertama Israel melancarkan serangan ketika rundingan dan usaha diplomatik sedang dijalankan.

“Dalam tempoh dua tahun, beberapa siri pembunuhan dan serangan berprofil tinggi dilakukan di Lubnan terhadap Hezbollah, di Syria yang meningkatkan ketegangan dengan kerajaan baharu Ahmad al-Sharaa, kumpulan Houthi di Yaman serta perang 12 hari ke atas Iran pada Jun lalu,” katanya dalam artikel kepada The Guardian.

Namun, serangan ke atas Doha dianggap lebih berani dan simbolik, serta dijangka meninggalkan kesan jangka panjang terhadap hubungan Israel dengan negara Arab Teluk.

Serangan itu turut memberi tamparan kepada Washington, yang selama ini melihat Qatar sebagai rakan strategik penting di rantau itu.

Negara itu menempatkan Pangkalan Udara Al Udeid, pusat operasi utama tentera AS di Asia Barat, dan pada 2022 diiktiraf bekas Presiden, Joe Biden sebagai ‘sekutu utama bukan-NATO’.

Bagi pemerintah Teluk, peluru berpandu jatuh di kawasan kediaman berhampiran istana yang pernah dikunjungi Presiden, Donald Trump pada Mei lalu, menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh mana kewujudan pangkalan AS mampu menjamin keselamatan mereka.

KEGAGALAN PENTADBIRAN AS

Penganalisis itu berkata, tindakan Israel menandakan perubahan mendasar dalam persepsi negara Arab, yang selama ini memfokuskan Iran sebagai ancaman melalui program nuklearnya.

Namun, kempen ketenteraan Israel yang berterusan di Gaza, peningkatan operasi di Tebing Barat serta di Lubnan, Syria, Yemen dan kini Qatar, menukar haluan perbincangan.

Negara-negara Teluk mula melihat Israel bukan lagi sekadar ancaman kepada Palestin, tetapi juga menggugat kestabilan serantau.

Meskipun peranan Iran dalam mencetuskan konflik masih tidak dinafikan, pemerhati serantau menegaskan, tindakan negara Republik Islam itu lebih dapat dijangka.

Sebaliknya, keberanian Israel melancarkan serangan di tengah usaha diplomatik menjadikan rejim itu semakin sukar diramal, sekali gus menambah kebimbangan Teluk kini berada dalam zon risiko baharu.

Bahkan, tindakan tidak tegas AS terus menguatkan persepsi Washington enggan atau tidak mampu mengekang sekutu rapatnya, Israel.

Vakil berkata, kegagalan kedua-dua pentadbiran Biden dan Trump untuk mengekang serangan Israel menguatkan persepsi jaminan keselamatan AS semakin longgar.

Serangan ke atas Doha turut memaksa pemerintah Teluk menerima hakikat hubungan rapat dengan Washington dan kewujudan pangkalan tentera AS tidak lagi menjamin perlindungan sepenuhnya.

Negara Teluk sejak sekian lama bimbang tumpuan strategik AS semakin beralih ke Asia.

Sebagai langkah balas, pemimpin Teluk dijangka memperkukuh kerjasama dalaman serantau serta memperluas hubungan dengan kuasa luar.

Ini termasuk mengekalkan hubungan ekonomi rapat dengan China, memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Turkiye dan menilai semula prospek normalisasi dengan Israel yang semakin tidak menentu.

“Pada masa sama, pemerintah Teluk semakin giat berusaha mencapai autonomi strategik yang lebih besar dan semakin tekad mengurangkan risiko bergantung kepada AS.

“Serangan di Doha akhirnya mungkin menjadi titik perubahan penting, mengukuhkan persepsi susunan tradisi keselamatan serantau semakin runtuh dan kedaulatan sekutu dikorbankan atas nama keselamatan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN