GAZA: Israel akan menghentikan atau memperlahankan bantuan kemanusiaan ke beberapa bahagian di utara Gaza ketika rejim Zionis meluaskan operasi ketenteraan terhadap Hamas.
Pegawai yang enggan namanya didedahkan memberitahu Associated Press, Israel akan menghentikan penghantaran bantuan melalui udara ke Gaza City dalam beberapa hari lagi dan mengurangkan jumlah trak bantuan yang masuk kerana mereka bersiap sedia untuk memindahkan ratusan ribu penduduk ke selatan.
Pada hari Jumaat, Israel menamatkan ‘jeda pertempuran pada waktu siang’ yang sebelum ini diadakan bagi membolehkan bantuan dihantar, dengan menyifatkan Gaza City sebagai kubu kuat Hamas, dan rangkaian terowong masih digunakan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan-rakan antarabangsa menyatakan angkah-langkah bantuan semasa, termasuk penghantaran udara jauh daripada mencukupi, berbanding 600 trak bantuan yang diperlukan setiap hari untuk rakyat Gaza.
“Kami terpaksa pergi kerana kawasan itu tidak lagi boleh didiami. Tiada siapa yang datang mencari (mangsa), tiada wartawan untuk merakam. Tiada apa-apa,” kata seorang penduduk, Fadi Al-Daour.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Jumaat mengesahkan mayat seorang tebusan yang ditemui di Gaza adalah Idan Shtivi, yang diculik semasa serangan Hamas di Festival Muzik Nova pada 7 Oktober 2023.
Kini, 48 tebusan masih berada di Gaza, daripada lebih 250 orang yang diculik.
Sejak beberapa hari lalu, tentera Israel meningkatkan serangan ke pinggir Gaza City dan sehingga Sabtu, tiada penghantaran udara dilakukan selama beberapa hari.
“Pemindahan besar-besaran akan mencetuskan pergerakan penduduk berskala besar yang tidak dapat ditampung mana-mana kawasan di Semenanjung Gaza susulan kemusnahan yang berlaku,” kata Mirjana Spoljaric, Presiden Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Katanya, adalah mustahil untuk memindahkan penduduk dari Gaza City dengan selamat dan bermaruah memandangkan Israel boleh melancarkan serangan bila-bila masa, selain keadaan amat daif.
Sehingga kini, sekitar 63,371 rakyat Palestin terbunuh di Gaza dengan separuh daripada mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.









