JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyeru lebih banyak negara mengiktiraf Palestin sebagai langkah penting ke arah penyelesaian konflik berpanjangan di Asia Barat.
Dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Isnin, Prabowo memuji tindakan negara seperti Perancis, Kanada, Australia, United Kingdom (UK) dan Portugal yang telah mengambil langkah tersebut.
“Pengiktirafan terhadap negara Palestin adalah tindakan yang tepat dan sejajar dengan perkembangan sejarah. Kepada negara yang masih belum berbuat demikian, kami menyeru agar mereka tidak ketinggalan,” katanya.
Prabowo turut menekankan mengakhiri keganasan di Gaza perlu menjadi keutamaan masyarakat antarabangsa dan menyatakan kesediaan Indonesia untuk menyumbang pasukan pengaman di bawah mandat PBB bagi membantu proses tersebut.
“Indonesia bersedia untuk terlibat secara langsung dan menyediakan pasukan pengaman, sekiranya diperlukan,” ujarnya.
Presiden Indonesia itu menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, termasuk kematian orang awam serta kekurangan bekalan asas.
“Ribuan nyawa tidak berdosa telah terkorban. Ramai dalam kalangan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.
Kebuluran semakin menghampiri, dan situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya.
Prabowo menegaskan sokongan Indonesia terhadap penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya jalan menuju keamanan berkekalan.
Beliau juga menyatakan Indonesia bersedia mengiktiraf Israel, tetapi hanya sekiranya negara itu terlebih dahulu mengiktiraf kemerdekaan dan kedaulatan Palestin.
“Langkah itu akan membuka ruang kepada penyelesaian adil dan menjamin keselamatan semua pihak,” katanya.
Deklarasi New York Sebagai Panduan
Mesyuarat peringkat tinggi PBB yang turut dipengerusikan oleh Perancis dan Arab Saudi itu bertujuan memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap penubuhan negara Palestin dan penyelesaian damai jangka panjang.
Menurut PBB, satu dokumen dikenali sebagai Deklarasi New York dijangka diterima pakai sebagai panduan ke arah pelaksanaan penyelesaian dua negara.










