Indonesia pecat pegawai polis didakwa rempuh Affan Kurniawan - Utusan Malaysia

Indonesia pecat pegawai polis didakwa rempuh Affan Kurniawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Seorang pegawai polis Indonesia dipecat selepas didapati bersalah melanggar etika berhubung insiden kematian seorang pemandu penghantaran yang mencetuskan gelombang protes antikerajaan baru-baru ini.

Kemarahan rakyat pada awalnya tercetus susulan isu ketidaksamarataan ekonomi dan pelbagai kemudahan mewah dinikmati oleh ahli Parlimen, sebelum memuncak apabila tular rakaman video sebuah kenderaan polis merempuh dan mengakibatkan kematian penghantar makanan berusia 21 tahun, Affan Kurniawan, pada minggu lalu.

Jurucakap polis, Trunoyudo Wisnu Andiko berkata, pegawai terbabit, Cosmas K. Gae didapati bertindak secara tidak profesional ketika mengendalikan demonstrasi.

“Tindakannya adalah perbuatan tercela. Maka, hukuman yang setimpal ialah pemecatan tidak hormat daripada pasukan polis,” katanya seperti dipetik Kompas TV.

Media tempatan melaporkan Cosmas berada dalam kenderaan yang melanggar mangsa, namun Trunoyudo tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai penglibatan pegawai itu.

Selepas prosiding, Cosmas mempertahankan dirinya dengan menegaskan dia hanya menjalankan tugas menjaga ketenteraman awam dan keselamatan anggota lain.

“Tidak ada niat, demi Tuhan, saya tidak berniat mencederakan atau menyebabkan kematian,” katanya yang turut mengaku hanya mengetahui kematian Affan menerusi media sosial.

Cosmas masih mempunyai tempoh tiga hari untuk membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Sementara itu, polis turut menahan enam lagi pegawai berkaitan insiden sama.

Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh sepanjang siri demonstrasi yang berlaku di Jakarta, Makassar, Jawa Tengah dan Papua manakala Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Mangsa Kekerasan (KontraS) pula memaklumkan, sebanyak 20 individu dilaporkan masih hilang sejak Isnin lalu.

Bagaimanapun, protes di seluruh negara kini semakin reda selepas sebahagian kemudahan ahli Parlimen ditarik balik serta tindakan kerajaan mengerahkan tentera di ibu kota pada Isnin sebagai amaran keras kepada penunjuk perasaan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN