LONDON: Pada awal tahun ini, saiz gunung ais terbesar dunia (megaberg) lebih dua kali ganda saiz Greater London. Namun menjelang September, gunung ais yang dikenali sebagai A23a menuju ke penghujung hayatnya.
Disenaraikan sebagai antara megaberg paling besar dan tertua yang pernah direkodkan, A23a mula pecah dan hancur apabila hanyut ke perairan yang lebih panas dan saintis menjangkakan ia mungkin akan lenyap sepenuhnya dalam beberapa minggu sahaja.
Sering disamakan dengan bentuk gigi geraham, gunung ais gergasi ini telah bergerak ke utara di Lautan Atlantik Selatan selama beberapa bulan.
Kini, setelah terdedah kepada suhu air yang semakin meningkat dan pukulan ombak besar, ‘raja lautan’ ini semakin cepat hancur.
Pakar oseanografi fizikal dari British Antarctic Survey (BAS), Andrew Meijers berkata, A23a kini semakin hancur ketika ia terus hanyut ke utara.
“Saya rasa ia memang sedang menuju ke pengakhirannya kerana ia sedang reput dari bawah. Suhu air terlalu panas untuk gunung ais ini terus bertahan. Ia sedang mencair tanpa henti ,” kata Meijers kepada AFP.
Pada awal tahun ini, megaberg tersebut dianggarkan seberat satu trilion tan bersamaan kira-kira 100 juta kali ganda berat Menara Eiffel di Paris. Saiznya ketika itu mencecah 3,988 kilometer (km) per segi iaitu lebih dua kali ganda saiz Greater London dan setebal 400 meter.
Kini, saiz A23a telah mengecil kepada hanya 1768km per segi dengan lebar maksimum 60km, menurut analisis imej satelit oleh AFP menjadikannya kurang daripada separuh saiz asalnya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, bongkah-bongkah ais besar bersaiz kira-kira 388km persegi telah terpisah, manakala cebisan yang lebih kecil namun masih cukup besar untuk membahayakan kapal telah berselerak di sekelilingnya.
Fenomena ini diibaratkan seperti hakisan pantai, di mana ombak memukul gunung ais dan membentuk rekahan yang semakin membesar sehingga struktur atasnya runtuh, meninggalkan ‘tiang’ kecil yang akhirnya menjadi ‘tunggul’ ais yang terpisah.
Semakin A23a hanyut ke utara, arus laut akan membawanya ke perairan yang lebih panas dan dalam masa terdekat, gunung ais gergasi ini dijangka akan cair sepenuhnya, menandakan berakhirnya satu lagi raksasa dari benua ais Antartika. – AGENSI










