LONDON: Empat negara Barat iaitu Britain, Kanada, Australia dan Portugal pada Ahad secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, satu langkah yang mencerminkan kekecewaan terhadap konflik berpanjangan di Gaza dan usaha untuk menghidupkan semula cadangan penyelesaian dua negara.
Langkah itu menyelaraskan kedudukan keempat-empat negara ini dengan lebih daripada 140 negara lain yang sudah lama menyokong hasrat rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri di wilayah yang kini diduduki Israel.
Pengiktirafan oleh Britain dianggap simbolik memandangkan peranannya dalam penubuhan negara Israel selepas Perang Dunia Kedua.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam kenyataan rasminya berkata, pengiktirafan ini bertujuan memberi harapan baharu kepada rakyat Palestin dan Israel ke arah keamanan yang berkekalan.
“United Kingdom (UK) secara rasmi mengiktiraf negara Palestin bagi menghidupkan semula harapan terhadap penyelesaian dua negara.
“Krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza amat membimbangkan. Pengeboman yang tidak berkesudahan, kemusnahan besar dan kelaparan mesti dihentikan,” katanya.
Langkah serupa dijangka akan diikuti oleh negara lain, termasuk Perancis, dalam perdebatan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu ini.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam tindakan negara-negara tersebut dan menyifatkannya sebagai satu “ganjaran kepada keganasan”, merujuk kepada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
“Sebuah negara Palestin tidak akan ditubuhkan di sebelah barat Sungai Jordan,” tegas Netanyahu dalam kenyataan balasnya.
Langkah pengiktirafan ini disambut baik oleh kepimpinan dan rakyat Palestin. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, keputusan tersebut adalah langkah penting ke arah masa depan yang lebih aman antara kedua-dua negara.
“Pengiktirafan ini membuka jalan kepada Negara Palestin untuk wujud secara aman dan selamat di samping Negara Israel,” katanya.
Penduduk Palestin turut menyuarakan sokongan terhadap keputusan negara-negara Barat itu.
“Ia adalah tanggungjawab kemanusiaan untuk menyokong rakyat Palestin dalam situasi sukar yang sedang dihadapi, dan tindakan Britain ini adalah sebahagian daripada sokongan itu,” kata Sharaf Al Tarda, seorang penduduk di Hebron, Tebing Barat.
Hamas turut menyambut baik keputusan tersebut, namun menegaskan ia perlu disusuli dengan langkah konkrit untuk menghentikan perang dan menghentikan dasar peluasan wilayah Israel di Tebing Barat.










