NAYPYIDAW: Bilangan kompleks besar seperti KK Park di sempadan Thailand-Myanmar meningkat dua kali ganda sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, dengan sindiket jenayah yang beroperasi mendapat perlindungan junta.
Lima tahun lalu, tanah yang kini menempatkan KK Park hanyalah padang kosong.
Kini, kompleks seluas 210 hektar itu dilengkapi dengan hospital, restoran, bank, dan deretan vila mewah, tetapi sebenarnya menjadi pusat utama penipuan bernilai berbilion dolar yang melibatkan pemerdagangan manusia serta keganasan.
Myanmar, Kemboja, dan Laos menjadi tempat perlindungan bagi sindiket jenayah rentas negara yang mengendalikan pusat penipuan seperti KK Park, dengan pekerja diperhambakan untuk menjalankan skim penipuan dalam talian yang menjana keuntungan besar.
Junta membenarkan kegiatan itu berleluasa kerana ia kini menjadi sumber penting dalam ekonomi konflik pasca rampasan kuasa, menjadikan Myanmar antara negara teratas di dunia sebagai tempat persembunyian jenayah terancang.
Meskipun terdapat usaha membanteras pusat tersebut dan menyelamatkan pekerja, imej dron dan kajian baharu dikongsi secara eksklusif kepada The Guardian mendedahkan bilangan kompleks di sempadan Thai-Myanmar meningkat lebih dua kali ganda sejak 2021, dengan pembinaan masih giat dijalankan.
Polis Thailand pada awal tahun ini menganggarkan seramai 100,000 orang mungkin ditahan di dalam pusat penipuan Myanmar sepanjang sempadan bersama kedua-dua negara.
Data daripada Institut Dasar Strategik Australia (Aspi) menunjukkan bilangan pusat penipuan Myanmar di sempadan Thailand meningkat daripada 11 kepada 27, dengan purata pertambahan 5.5 hektar sebulan.
Imej dron dan satelit menunjukkan pusat ini mempunyai kubu pertahanan dan sistem keselamatan kukuh, termasuk pagar, pusat pemeriksaan dan menara kawalan di kompleks Dongmei Park.
Beberapa kompleks juga menampilkan kediaman mewah untuk ‘pasukan pengurusan’ dan digunakan sebagai latar panggilan video bagi menyakinkan mangsa kononnya mereka bercakap dengan individu kaya.
Kira-kira 7,000 orang diselamatkan awal tahun ini melalui operasi yang melibatkan Thailand, China, negara lain yang warganya terperangkap, serta tentera Myanmar dan kumpulan bersenjata di kawasan sempadan.










