BEIJING: Seorang lelaki warga emas di China berdepan risiko kehilangan semua gigi selepas cuba membuat gigi palsu sendiri menggunakan resin khas yang dibeli secara dalam talian bagi menjimatkan kos rawatan.
Insiden itu dikongsikan seorang pengamal pergigian, Liu, yang mengendalikan klinik gigi di Tianjin, dengan memuat naik beberapa foto mengejutkan di laman Weibo, menunjukkan gigi atas dan bawah pesakit berkenaan disaluti bahan keras berwarna coklat.
Menurut Liu, lelaki terbabit mengalami kesukaran mengunyah akibat giginya yang semakin rosak.
Enggan membayar kos rawatan yang tinggi, dia membuat keputusan untuk menghasilkan gigi palsu sendiri menggunakan bahan bernilai hanya 5 yuan (RM2.96).
“Dia enggan berbelanja untuk gigi palsu, jadi membeli bahan tersebut secara dalam talian. Namun apabila datang mendapatkan rawatan, hospital tidak berani berbuat apa-apa. Saya sendiri juga tidak mampu membantu,” kata Liu.
Eksperimen itu bagaimanapun berakhir dengan kegagalan apabila resin yang digunakan melekat kukuh pada giginya.
Lelaki tersebut kini bukan sahaja gagal mendapatkan gigi palsu, malah berisiko kehilangan semua giginya sekiranya tiada doktor gigi sanggup melakukan prosedur pembuangan bahan tersebut.
Kes berkenaan dijadikan Liu sebagai peringatan kepada orang ramai supaya tidak mengambil risiko melakukan rawatan pergigian sendiri hanya kerana ingin berjimat.
Walaupun beliau tidak menjelaskan secara terperinci punca kegagalan itu, ada yang mendakwa lelaki berkenaan tidak menggunakan cahaya ultraviolet untuk mengeraskan resin berkenaan, menyebabkan ia membentuk lapisan keras yang menyakitkan.
Orang ramai di media sosial turut sependapat rawatan pergigian, meskipun mahal, seharusnya diserahkan kepada pakar.– AGENSI










