Budak lelaki 8 tahun tunggang kerbau ke sekolah

Budak lelaki 8 tahun tunggang kerbau ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun di Thailand mencuri perhatian penduduk tempatan dengan rutin harian unik menunggang kerbau peliharaannya untuk pergi dan pulang dari sekolah.

Thanwa ‘Fluke’ Thong-iam menunggang kerbau kesayangannya, Kalamae sejauh lebih 800 meter setiap pagi dan petang di daerah Khao Yoi, wilayah Phetchaburi.

Keakraban pasangan ini kini menjadi pemandangan yang sering dinantikan penduduk setempat.

Setiap hari sekitar pukul 6.30 pagi, Fluke dengan tangkas naik ke belakang Kalamae dengan berpijak pada tanduk haiwan itu sebelum melompat ke atas tubuhnya.

Sebelum itu, dia terlebih dahulu melakukan ‘wai’ sebagai tanda hormat dan terima kasih kepada tunggangan setianya itu.

Kalamae kemudian membawa Fluke ke Sekolah Wat Nong Som, di mana kerbau berusia dua tahun lima bulan itu diikat berhampiran kolam di pintu pagar sekolah untuk meragut rumput sehingga waktu tamat kelas pada pukul 4 petang.

“Kalamae akan menggeleng kepala dan berjalan menghampiri saya apabila tiba waktu pulang. Seolah-olah dia tahu jadual sekolah saya,” kata Fluke sambil tersenyum.

Menurut ibunya, Nopparat Chuchuen, Kalamae dibela sejak berusia setahun lebih dan ikatan erat antara anaknya dan kerbau itu sudah terjalin ketika Fluke berusia enam tahun.

“Fluke memang sukakan haiwan, terutamanya kerbau, lembu dan juga ayam laga. Dia sudah menunggang Kalamae hampir dua tahun sekarang. Kerbau ini lembut, tenang, sangat mesra dan amat serasi dengannya,” katanya kepada Amarin TV.

Walaupun tunggangan itu dianggap luar dari kebiasaan, keluarga Fluke tidak bimbang kerana Kalamae sentiasa mengikut laluan yang sama setiap hari tanpa gagal, mewujudkan rutin yang menyerlahkan hubungan istimewa penuh kasih sayang antara mereka.

Penduduk setempat turut mengakui sering ternanti melihat pasangan unik itu melintasi kawasan rumah dan sawah padi, mengundang senyuman dan rasa kagum di sepanjang perjalanan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×