Bapa Elon Musk didakwa cabul anak, anak tiri sejak 1993

Bapa Elon Musk didakwa cabul anak, anak tiri sejak 1993

ERROL MUSK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Errol Musk, bapa kepada bilionair teknologi Elon Musk berdepan dakwaan serius mencabul lima orang anak dan anak tirinya sejak tahun 1993, lapor The New York Times pada Selasa.

Menurut laporan itu, tuduhan berkenaan dipercayai menjadi satu sebab Elon, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla jarang menyebut tentang bapanya. Malah, ahli keluarga Elon pernah meminta bantuannya untuk campur tangan dalam isu tersebut.

Errol, 79, menolak tuduhan itu, menyifatkannya sebagai karut dan ‘sampah’ semata-mata. Ketika diminta komen oleh The Guardian, dia turut memberikan jawapan bertulis yang menyatakan laporan itu tidak benar dan tidak masuk akal.

Berdasarkan surat peribadi, emel serta temu bual bersama ahli keluarga, The New York Times mendakwa Errol masih mempunyai pengaruh kuat terhadap keluarganya, meskipun pernah berkahwin dengan tiga wanita dan mempunyai sekurang-kurangnya sembilan anak serta anak tiri.

Rekod mahkamah dan siasatan pihak berkuasa menunjukkan tuduhan terawal bermula pada 1993 apabila anak tirinya yang berusia empat tahun ketika itu mendakwa dia telah disentuh oleh Errol di rumah keluarga.

Beberapa tahun kemudian, anak tiri sama mendakwa dia terserempak dengan Errol menghidu pakaian dalamnya. Ahli keluarga lain juga menuduh dia mencabul dua anak perempuan serta seorang anak tiri lelaki.

Tiga siasatan berasingan pernah dibuka oleh pihak berkuasa, namun dua daripadanya ditutup tanpa tindakan, manakala hasil siasatan ketiga tidak jelas.

Errol menegaskan semua tuduhan itu adalah palsu dan mendakwa ahli keluarga cuba mempengaruhi kanak-kanak membuat cerita bohong dengan tujuan memeras ugut Elon, anak sulungnya.

Elon sendiri jarang bercakap tentang bapanya, namun dalam wawancara bersama Rolling Stone pada 2017, beliau menggambarkan Errol sebagai seorang yang pernah melakukan hampir semua perkara jahat yang boleh dibayangkan.

Dalam profil itu, Elon mengimbas kembali saat dia berpindah untuk tinggal bersama bapanya pada usia 10 tahun, sementara adik-beradiknya Kimbal dan Tosca kekal bersama ibu mereka.

“Saya kasihan pada ayah kerana ibu menjaga semua anak. Dia kelihatan sedih dan kesunyian. Jadi saya fikir, saya boleh temankan dia. Namun, saya tidak benar-benar faham ketika itu siapa sebenarnya dia … Ia bukan keputusan yang baik,” kata Elon. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN