SIDOARJO: Sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan di sebuah sekolah agama berhampiran Sidoarjo, Jawa Timur, runtuh ketika puluhan pelajar sedang menunaikan solat Asar semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang pelajar serta mencederakan puluhan yang lain.
Menurut pihak berkuasa, pasukan polis, tentera dan penyelamat berhempas-pulas menggali timbunan runtuhan sepanjang malam bagi mencari sekurang-kurangnya tiga lagi pelajar yang dipercayai masih hidup namun terperangkap di bawah bangunan Pondok Pesantren Al Khoziny.
Pasukan penyelamat turut memaklumkan mereka ternampak beberapa mayat lain, sekali gus dibimbangi angka korban akan meningkat.
Jurucakap polis Jawa Timur, Jules Abraham Abast berkata, para pelajar ketika itu sedang beribadah di sebuah bangunan yang sedang melalui proses ubah suai tanpa kebenaran, sebelum ia tiba-tiba runtuh.
“Seorang pelajar lelaki disahkan maut, manakala 83 lagi cedera dan dirawat di dua hospital berdekatan, sebahagiannya dalam keadaan kritikal,” katanya.
Kebanyakan mangsa adalah pelajar lelaki kerana pelajar perempuan yang menunaikan solat di bahagian berasingan sempat menyelamatkan diri.
Guru, pentadbir dan penduduk kampung turut membantu membawa keluar pelajar yang cedera, ramai antaranya mengalami kecederaan kepala serta patah tulang.
Siasatan awal mendapati bangunan asal dewan solat itu hanya setinggi dua tingkat sebelum ditambah dua tingkat konkrit baharu tanpa permit pembinaan.
“Asas bangunan lama jelas tidak mampu menampung tambahan dua tingkat konkrit dan runtuh ketika kerja menuang sedang dijalankan,” jelas Abast.
Stesen televisyen tempatan menyiarkan puluhan anggota penyelamat, polis dan tentera bertungkus-lumus menggali runtuhan konkrit bertetulang dalam operasi malam yang turut dibantu jentera berat.
Sementara itu, Ketua operasi menyelamat, Nanang Sigit berkata, usaha mencari dan menyelamat berdepan kesukaran kerana runtuhan konkrit besar dan struktur tidak stabil.
“Tiga pelajar dipercayai masih hidup dan terperangkap di bawah runtuhan. Kami sudah menyalurkan oksigen dan air untuk memastikan mereka bertahan sementara usaha menyelamat giat dijalankan,” katanya.
Tambah beliau, beberapa mayat juga kelihatan di bawah runtuhan, namun pasukan penyelamat memberi tumpuan menyelamatkan mangsa yang masih hidup. -AGENSI










