LONDON: Seramai 26 anggota polis cedera, termasuk empat parah, ketika mengawal demonstrasi terbesar anjuran aktivis sayap kanan kontroversi, Tommy Robinson di tengah London yang menghimpunkan sehingga 150,000 orang.
Polis Metropolitan berkata, protes ‘Unite the Kingdom’ bertukar tegang apabila sebahagian penunjuk perasaan melempar botol dan objek lain ke arah pasukan keselamatan dengan 25 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.
Perhimpunan anjuran Robinson itu menyaksikan ribuan peserta berarak melintasi Jambatan Westminster sebelum berkumpul berhampiran Downing Street, mendengar ucapan tokoh-tokoh sayap kanan dari Eropah dan Amerika Utara termasuk hartawan dan pemilik platform X, Elon Musk.
Robinson, 42, yang mempunyai beberapa rekod jenayah dan pengikut dalam talian besar hasil agenda anti-Islam dan anti-pendatang, menggambarkan perhimpunan itu sebagai ‘festival kebebasan bersuara’.
Polis Metropolitan berkata, jumlah kehadiran itu jauh melebihi jangkaan penganjur, dengan peserta memenuhi kawasan sekitar Westminster, kebanyakannya membawa bendera England dan Union Jack.
Kekecohan berlaku apabila sebahagian peserta cuba memasuki kawasan larangan yang dipisahkan berhampiran lokasi penunjuk perasaan anti-perkauman.
Kira-kira 5,000 orang turut menyertai perarakan ‘Stand Up to Racism’ yang bermula 400 meter dari lokasi utama perhimpunan sayap kanan, di mana lebih 1,000 anggota polis dikerah untuk memisahkan kedua-dua kumpulan itu.
Penolong Pesuruhjaya Polis, Matt Twist berkata, ramai hadir untuk menyatakan hak mereka berhimpun secara sah, tetapi terdapat juga yang datang dengan niat melakukan keganasan.
Menurut beliau, anggota bertugas diserang dengan tumbukan dan tendangan, menyebabkan kecederaan termasuk gegaran otak, gigi patah dan hidung retak.-AFP










