GAZA: Tentera Israel terus memperhebatkan serangan ke atas Gaza City, menyebabkan angka kematian akibat serangan dan kebuluran meningkat dengan mendadak, di tengah-tengah amaran komuniti antarabangsa mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.
Gaza City, antara kawasan terakhir yang padat dengan penduduk Palestin di wilayah terkepung itu, kini menjadi tumpuan utama operasi ketenteraan Israel. Pemerhati antarabangsa menyifatkan tindakan ini sebagai usaha sistematik yang menyerupai pembersihan etnik, apabila puluhan ribu penduduk yang sudah kelaparan terpaksa berpindah sekali lagi.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tujuh lagi penduduk maut akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan korban kelaparan kepada 258 orang — termasuk 110 kanak-kanak.
Hampir 90 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal, dengan sebahagian besar berdepan kelaparan teruk. Keadaan menjadi lebih genting apabila serangan Israel semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 57 orang, termasuk 38 mangsa yang sedang menerima bantuan makanan.
Sejak konflik bermula pada Oktober 2023, hampir 62,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan Israel.
Beberapa kawasan penempatan utama seperti Zeitoun, Sabra, Remal dan Tuffah menjadi sasaran utama dalam serangan terbaru. Di kejiranan Zeitoun, ribuan keluarga terpaksa melarikan diri selepas kawasan itu dibedil bertalu-talu.
Serangan turut mengenai Hospital Arab al-Ahli, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang. Wartawan Al Jazeera melaporkan ramai penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka dalam keadaan lapar dan lemah akibat peningkatan serangan artileri dan udara.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memberi amaran bahawa arahan Israel untuk memindahkan penduduk ke selatan hanya akan memburukkan lagi penderitaan yang sedia ada.
Laporan PBB juga menunjukkan satu daripada lima kanak-kanak di Gaza mengalami kekurangan zat makanan, manakala puluhan ribu bergantung kepada dapur amal yang hanya mampu menyediakan satu hidangan kecil setiap hari.
Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menyifatkan keadaan di Gaza sebagai “kebuluran buatan manusia”, dan menyeru agar agihan makanan diselaraskan semula di bawah kendalian PBB.
Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) memaklumkan bahawa bekalan makanan yang ada kini hanya mampu memenuhi 47 peratus daripada keperluan penduduk, dengan 500,000 orang kini berada di ambang kebuluran.










