Ukraine dakwa tentera Russia ceroboh wilayah penting Dnipropetrovsk

Ukraine dakwa tentera Russia ceroboh wilayah penting Dnipropetrovsk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Tentera Ukraine mendakwa pasukan Russia menyeberang masuk ke wilayah industri timur Dnipropetrovsk dan sedang berusaha menempatkan kedudukan, sekali gus menandakan serangan berskala besar pertama di kawasan itu.

“Ini adalah serangan pertama sebesar ini di wilayah Dnipropetrovsk,” kata Viktor Trehubov daripada Dnipro Operational-Strategic Group of Troops, sambil menegaskan kemaraan Russia itu berjaya dihentikan.

Moscow sebelum ini berulang kali mendakwa tenteranya sudah memasuki kawasan berkenaan, dengan usaha menolak lebih jauh ke dalam Ukraine dari wilayah Donetsk.

Pada awal Jun, pegawai Russia mendakwa operasi ofensif di Dnipropetrovsk sudah bermula, namun laporan terbaharu dari pihak Ukraine menunjukkan mereka hanya sekadar menceroboh kawasan sempadan wilayah itu.

Jika Russia benar-benar menembusi Dnipropetrovsk, ia akan memberi tamparan hebat kepada moral Ukraine, pada ketika usaha diplomatik yang diterajui Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang semakin hambar, meskipun Presiden, Donald Trump baru-baru ini bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin, di Alaska.

Menurut projek pemetaan bebas Ukrainian DeepState, Russia kini menduduki dua kampung di dalam wilayah itu iaitu Zaporizke dan Novohryhorivka.

Namun, kenyataan rasmi daripada staf am tentera Ukraine menafikan laporan tersebut, menegaskan mereka masih mengawal Zaporizke dan pertempuran aktif masih berlangsung di Novohryhorivka.

Walaupun Russia tidak pernah mendakwa Dnipropetrovsk sebagai wilayahnya, berbeza dengan Donetsk dan empat wilayah timur lain, Moscow tetap melancarkan serangan ke atas bandar-bandar utama termasuk ibu wilayah, Dnipro.

Sebelum perang, Dnipropetrovsk mempunyai lebih tiga juta penduduk dan merupakan pusat industri berat kedua terbesar di Ukraine selepas Donbas dengan gabungan wilayah Donetsk dan Luhansk.

Meskipun kemaraan tentera Russia secara keseluruhannya perlahan dan menyebabkan korban yang besar, mereka tetap mencatatkan kemajuan di Donetsk dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Awal bulan ini, satu kumpulan tentera Russia berjaya menolak sejauh 10 kilometer melepasi garisan pertahanan Ukraine berhampiran Dobropillia, namun laporan terkini menunjukkan kemaraan itu berjaya disekat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN