PARIS: Setiap nafas yang dihirup manusia di dalam rumah atau kereta berkemungkinan besar mengandungi mikroplastik bersaiz halus yang mampu menembusi jauh ke dalam paru-paru, demikian menurut kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Plos One.
Kajian itu menganggarkan seseorang boleh menyedut sehingga 68,000 partikel plastik mikroskopik setiap hari.
Berbanding partikel bersaiz besar yang cepat mendap ke tanah, mikroplastik bersaiz 1 hingga 10 mikrometer kira-kira satu per tujuh ketebalan sehelai rambut kekal terapung lebih lama dan berisiko tinggi untuk masuk jauh ke dalam sistem pernafasan serta tersebar ke seluruh tubuh.
Nadiia Yakovenko, penyelidik mikroplastik dari Universiti Toulouse, Perancis, yang juga penulis bersama kajian itu, berkata mereka terkejut dengan tahap pencemaran mikroplastik yang dikesan.
“Kami mendapati jumlahnya jauh lebih tinggi daripada jangkaan. Saiz partikel yang kecil ini berbahaya kerana ia boleh masuk ke dalam tisu, menembusi saluran darah dan masuk jauh ke sistem pernafasan,” katanya.
Mikroplastik ialah partikel plastik kecil sama ada sengaja ditambah ke dalam barangan pengguna atau terhasil daripada pereputan plastik bersaiz besar serta mengandungi lebih 16,000 jenis bahan kimia, termasuk BPA, phthalates dan PFAS yang diketahui membawa risiko kesihatan serius.
Walaupun makanan dan air dianggap laluan utama pendedahan, kajian ini mendedahkan udara tercemar turut menjadi ancaman besar dan diantara masalah kesihatan yang dikaitkan dengan pendedahan ini ialah keradangan paru-paru kronik berpotensi membawa kepada kanser paru-paru.










