WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (as), Donald Trump sekali lagi mendesak Rizab Persekutuan (Fed) menurunkan kadar faedah, sambil menyifatkan kadar semasa terlalu tinggi dan membebankan rakyat, khususnya mereka yang ingin memiliki rumah.
Trump menegaskan kadar faedah perlu diturunkan sebagai langkah berjaga-jaga, meskipun inflasi ketika ini tidak menjadi isu besar.
“Kita tiada inflasi ketika ini, tetapi jika ia berlaku nanti, kita akan bertindak sewajarnya.
“Namun buat masa ini, kadar faedah yang tinggi hanya menyusahkan rakyat untuk beli rumah dan semua ini berpunca daripada Fed,” katanya kepada media pada Rabu.
Desakan terbaharu itu dibuat susulan keputusan Fed mengekalkan kadar faedah utama pada paras 4.25 hingga 4.50 peratus buat kali kelima berturut-turut dalam satu undian 9-2 oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).
Dua ahli yang menentang keputusan tersebut merupakan lantikan Trump sendiri dan turut berkongsi pandangan dasar monetari Fed terlalu ketat.
Dalam kenyataan rasmi, Fed menerusi Pengerusinya, Jerome Powell menyatakan kadar pengangguran kekal rendah dan pasaran buruh masih kukuh, namun inflasi masih belum kembali sepenuhnya ke tahap yang disasarkan.
Bank pusat itu turut mengakui pertumbuhan ekonomi AS perlahan pada separuh pertama tahun ini, satu faktor yang mungkin membuka ruang kepada penurunan kadar pada masa akan datang sekiranya trend perlahan itu berterusan.
Namun begitu, Fed turut memberi amaran ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi masih tinggi, dengan risiko terhadap sasaran inflasi dan guna tenaga penuh masih wujud.
Ini menjadi antara sebab utama mereka terus berwaspada dalam membuat sebarang perubahan dasar kewangan.
Teguran terbuka Trump terhadap Fed menyerlahkan ketegangan berterusan antara dasar fiskal dan monetari di AS, terutama menjelang pilihan raya Presiden yang kian hampir.










