ISTANBUL: Pihak berkuasa pelabuhan Turkiye dilaporkan mula mewajibkan ejen perkapalan menyerahkan surat pengesahan kapal yang berlabuh tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Israel serta tidak membawa kargo ketenteraan atau bahan berbahaya yang ditujukan ke negara itu.
Menurut dua sumber perkapalan, arahan tersebut dikeluarkan secara lisan oleh pejabat ketua pelabuhan dan terpakai di semua pelabuhan di Turkiye, meskipun tiada pekeliling rasmi dikeluarkan setakat ini.
“Surat jaminan itu perlu menyatakan pemilik, pengurus dan pengendali kapal tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Israel, dan kapal tidak membawa bahan letupan, bahan radioaktif atau peralatan ketenteraan untuk dihantar ke negara tersebut,” kata salah seorang sumber.
Kementerian Pengangkutan Turkiye bagaimanapun belum memberikan sebarang maklum balas terhadap laporan berkenaan.
Difahamkan, surat jaminan yang diwajibkan itu perlu menyatakan pemilik, pengurus dan pengendali kapal tidak mempunyai hubungan dengan Israel dan kapal berkenaan tidak membawa bahan letupan, bahan radioaktif atau peralatan ketenteraan ke negara tersebut.
Langkah baharu itu dijangka menyulitkan lagi penghantaran kargo ke Israel, ketika situasi keselamatan di rantau Mediterranean Timur itu turut terjejas akibat tindakan kumpulan Houthi yang menyasarkan kapal di Laut Merah sejak 2023 sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
Turkiye, yang juga merupakan anggota NATO, sebelum ini lantang mengecam tindakan Israel di Gaza dan menyifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, dakwaan yang terus dinafikan oleh Tel Aviv.
Langkah terbaharu ini muncul selepas Ankara memutuskan hubungan perdagangan dengan Israel tahun lalu, melibatkan nilai perdagangan sekitar AS$7 bilion (RM29 bilion) setahun, sebagai tindak balas terhadap serangan ketenteraan Tel Aviv ke atas Gaza yang mengorbankan puluhan ribu penduduk Palestin. -AGENSI










