WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan pemindahan potret rasmi tiga bekas presiden iaitu Barack Obama, George W. Bush dan George H. W. Bush dari ruang utama Rumah Putih ke lokasi tersembunyi berhampiran tangga peribadi, melanggar tradisi lama yang menghormati pemimpin terdahulu negara.
Menurut laporan CNN dan disahkan oleh sumber kepada Wall Street Journal serta ABC News, potret berkenaan kini tergantung di bahagian atas Grand Staircase, berhampiran kawasan kediaman peribadi Presiden, lokasi yang hanya boleh diakses oleh ahli keluarga presiden, pengawal Secret Service dan kakitangan terpilih.
Langkah ini menandakan satu lagi perubahan dalam susun atur Rumah Putih di bawah pentadbiran Trump, yang sebelum ini turut menggantikan potret Bill Clinton dan George W. Bush dengan lukisan presiden lama seperti William McKinley dan Theodore Roosevelt.
Tradisi di Rumah Putih menetapkan potret rasmi bekas presiden akan dipamerkan di ruang utama seperti Grand Foyer atau East Room untuk tatapan tetamu dan pelawat rasmi.
Namun tindakan Trump ini dilihat mencerminkan ketegangan politik yang berterusan dengan pendahulunya, khususnya Obama dan keluarga Bush.
Dalam beberapa bulan terakhir, Trump menuduh Obama melakukan “pengkhianatan” berhubung siasatan campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016 — tuduhan yang dibalas pejabat Obama sebagai “melampau”, “ganjil” dan satu cubaan mengalih perhatian.
Hubungan dengan keluarga Bush juga tidak mesra. George H. W. Bush pernah menggelar Trump sebagai “blowhard” dan menyokong Hillary Clinton dalam pilihan raya 2016, manakala George W. Bush tidak menghadiri jamuan rasmi selepas pelantikan Trump pada 2017.
Potret rasmi presiden lazimnya dibiayai oleh White House Historical Association. Sehingga kini, potret rasmi Presiden Joe Biden masih belum disiapkan, manakala tiada kenyataan dikeluarkan oleh pejabat Obama atau Bush berhubung tindakan terbaharu ini.











