WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mengancam mengenakan sekatan terhadap Russia sekiranya tiada kemajuan dalam usaha mencapai penyelesaian damai di Ukraine dalam tempoh dua minggu.
Trump turut menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Moscow seminggu selepas pertemuannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di Alaska.
“Saya akan buat keputusan mengenai tindakan yang akan diambil dan ia akan menjadi keputusan yang sangat penting sama ada sekatan besar-besaran, tarif besar-besaran, kedua-duanya, atau kita tidak buat apa-apa dan kata ini pergaduhan kamu,” kata Trump.
Trump menyuarakan kemarahan terhadap serangan maut Russia terhadap sebuah kilang di Ukraine minggu ini.
“Saya tidak gembira mengenainya, dan saya tidak gembira dengan apa-apa yang berkaitan dengan perang itu,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada Jumaat berkata, Russia berusaha sedaya upaya menghalang pertemuan antara beliau dan Putin.
Zelensky berulang kali menyeru Putin bertemu dengannya, dengan menyatakan ia satu-satunya jalan berunding bagi menamatkan perang.
Trump sebelum ini berkata beliau memulakan usaha untuk mengatur pertemuan antara Putin dan Zelensky selepas panggilan telefon bersama pemimpin Russia itu pada Isnin, susulan pertemuan mereka di Alaska pada 15 Ogos.
“Pertemuan itu merupakan satu komponen utama untuk menamatkan perang dan disebabkan mereka tidak mahu menamatkannya, mereka akan cuba mengelak,” kata Zelensky dalam sidang media di Kyiv bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, dalam temu bual bersama NBC berkata, tiada agenda untuk sidang kemuncak tersebut.
“Putin bersedia untuk bertemu Zelensky apabila agenda bagi sidang itu sudah tersedia. Dan buat masa ini, agenda itu langsung belum ada,” katanya.
Kenyataan itu sejajar dengan pendirian lama Moscow mengenai pertemuan pemimpin hanya akan berlaku jika syarat tertentu dipenuhi. – AGENSI









