'Tiada gencatan senjata, perang dengan Israel, AS boleh berlaku bila-bila masa' - Utusan Malaysia

‘Tiada gencatan senjata, perang dengan Israel, AS boleh berlaku bila-bila masa’

PASUKAN kecemasan mengeluarkan mayat dari runtuhan sebuah bangunan yang terkena serangan peluru berpandu Iran di Beersheba, selatan Israel. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Seorang pegawai tertinggi Kor Pengawal Revolusi Iran memberi amaran satu lagi perang dengan Israel atau Amerika Syarikat (AS) boleh meletus pada bila-bila masa, ketika ketegangan terus memuncak di rantau itu.

“Kita bukan dalam tempoh gencatan senjata. Kita berada dalam fasa peperangan,” kata Jeneral Yahya Rahim Safavi, penasihat kanan tentera kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Dalam kenyataan kepada media tempatan, Safavi berkata tiada sebarang protokol atau perjanjian rasmi antara Iran dengan AS atau Israel.

“Saya rasa perang lain mungkin berlaku, dan selepas itu, mungkin tiada lagi perang,” katanya seperti yang dilaporkan media tempatan.

Safavi menekankan kuasa ketenteraan adalah kunci kepada keamanan, seperti yang didakwa oleh AS dan Israel, justeru Iran juga mesti membina kekuatan.

“Kita perlu perkukuh strategi serangan diplomatik, media, peluru berpandu, dron dan siber. Tentera Iran sentiasa merancang mengikut senario terburuk dan kita bersedia,” katanya.

Pada akhir Julai, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengugut akan bertindak balas terhadap AS dan Israel dengan lebih “tegas dan keras” jika negaranya diserang lagi.

“Pilihan ketenteraan telah gagal. Jika ada kebimbangan terhadap program nuklear Iran, penyelesaian hanya boleh dicapai melalui rundingan,” katanya.

Namun Israel tetap tidak berganjak. Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberi amaran serangan terhadap Iran akan disambung jika republik Islam itu meneruskan pengayaan uranium.

“Jika Iran cuba membina semula program nuklear mereka, kami akan bertindak dengan ketegasan yang sama,” tegas Netanyahu.

Ketegangan antara kedua-dua negara meledak pada 13 Jun 2025, selepas serangan mengejut oleh Israel terhadap Iran.

Walaupun perang 12 hari itu sudah berakhir secara rasmi, kenyataan terbaharu dari Teheran menunjukkan rantau ini masih berada di ambang konflik besar-besaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN