BANGKOK: Tentera Diraja Thailand menjemput badan-badan antarabangsa, termasuk Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), untuk memeriksa keadaan tentera Kemboja yang kini ditahan di bawah jagaan pihak berkuasa negara itu.
Langkah ini diambil sebagai reaksi terhadap dakwaan dari Kemboja yang mengatakan Thailand melayan tentera yang ditangkap secara tidak berperikemanusiaan sebelum sebahagian daripada mereka dihantar pulang susulan perjanjian gencatan senjata baru-baru ini.
Jurucakap Tentera Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree menolak dakwaan Kemboja pada 2 Ogos lalu sebagai tuduhan yang diputar belit.
Beliau menjelaskan, walaupun gencatan senjata dilaksanakan secara mengejut, konflik bersenjata sebenarnya masih belum benar-benar berakhir.
“Oleh itu, menurut undang-undang antarabangsa, penahanan sementara oleh pihak tentera masih dibenarkan di bawah Konvensyen Geneva.
“Tentera Diraja Thailand mempunyai pelan dan bersedia sepenuhnya untuk menjemput organisasi antarabangsa seperti ICRC bagi memantau kebajikan tahanan perang.
“Jemputan ini merupakan langkah proaktif yang didorong oleh kesedaran bahawa Kemboja mungkin cuba memutarbelitkan isu ini bagi menjejaskan kredibiliti tentera Thailand,” kata Winthai.
Beliau turut menegaskan semua prosedur yang dilaksanakan oleh pihak Thailand adalah mengikut kerangka kerja Konvensyen Geneva sepenuhnya.
Sehubungan itu, berliau berkata, wakil daripada kedua-dua UNHCR dan ICRC dialu-alukan untuk menjalankan pemeriksaan melalui saluran undang-undang antarabangsa yang telah ditetapkan.
Katanya, pihak Thailand komited untuk melaksanakan semua operasinya secara tegas mengikut peraturan antarabangsa.-AGENSI










