Tentera Israel serbu bandar Nablus di Tebing Barat 'tanpa sebab' - Utusan Malaysia

Tentera Israel serbu bandar Nablus di Tebing Barat ‘tanpa sebab’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NABLUS: Puluhan askar Israel menyerbu bandar Nablus di wilayah Tebing Barat yang diduduki pada Rabu, menurut saksi dan pegawai Palestin dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Palestin melaporkan sekurang-kurangnya tujuh orang cedera dalam serbuan tersebut.

Ketika dihubungi agensi berita AFP, tentera Israel mengesahkan mereka menjalankan operasi di bandar di utara Tebing Barat itu, namun tidak memperincikan tujuan sebenar tindakan tersebut.

Menurut penduduk tempatan, serbuan bermula sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan dengan pasukan tentera menaiki kenderaan berperisai memasuki beberapa kawasan di bandar lama Nablus yang dihuni sekitar 30,000 orang.

Operasi ini berlaku hanya sehari selepas tentera Israel melancarkan serbuan di bandar Ramallah yang menjadi pusat pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin, menyasarkan sebuah pusat pertukaran mata wang di tengah bandar dan mencederakan puluhan rakyat Palestin, menurut PBSM Palestin.

Gabenor Nablus, Ghassan Daghlas menyifatkan serangan pada Rabu itu sebagai tindakan ‘menunjuk’ kuasa tanpa sebarang justifikasi.

Seorang saksi yang enggan dikenali melaporkan bahawa askar Israel telah mengusir sepasang suami isteri warga emas dari rumah mereka.

“Pasukan tentera sedang menyerbu dan menggeledah rumah serta kedai di dalam kawasan bandar lama, dan ada rumah yang telah dijadikan pos tentera,” kata Ketua organisasi Bantuan Perubatan Palestin di Nablus, Ghassan Hamdan.

Rakaman video oleh AFP menunjukkan kehadiran tentera dan kenderaan tentera Israel di jalan-jalan sekitar bandar, dengan beberapa anggota tentera dilihat mengambil posisi di atas bumbung bangunan.

Daghlas memaklumkan bahawa pihak tentera telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Palestin bahawa operasi itu dijangka berlangsung sehingga jam 4 petang waktu tempatan.

Sumber tempatan turut melaporkan pertempuran berlaku di pintu masuk timur ke bandar lama, apabila sekumpulan pemuda melemparkan batu ke arah askar Israel yang membalas dengan tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN