SINGAPURA: Dengan linangan air mata dan senyuman di wajah, Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Penerbangan Jetstar Asia, Norazman Sapiie menaiki penerbangan terakhirnya semalam, sekali gus menamatkan kerjaya 20 tahun sebagai anak kapal bersama syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Beliau sempat melambai kepada kakitangan darat yang berhimpun di landasan dan jambatan udara Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila, sebelum menarik nafas panjang, memejamkan mata dan berpaling dari pintu pesawat.
“Kru kabin, untuk kali terakhir, mari kita pulang,” kata Norazman, 57, apabila pesawat mula memecut dan berlepas ke udara
Lapor The Straits Times (ST), beliau merupakan anak kapal paling lama berkhidmat di Jetstar Asia, menyertai syarikat itu pada Oktober 2004.
Penerbangan terakhir yang dikendalikannya, 3K764, juga merupakan penerbangan berjadual terakhir Jetstar Asia, menandakan berakhirnya operasi syarikat itu selepas lebih 20 tahun sejak penerbangan sulungnya pada Disember 2004.
Pesawat Airbus A320 itu berlepas dari Manila sekitar pukul 6 petang dengan membawa 156 penumpang dan tujuh anak kapal, sedikit lewat dari jadual.
Tepukan gemuruh bergema apabila pesawat mendarat di Lapangan Terbang Changi tepat pukul 9.18 malam.
Sebelum pesawat memulakan proses pendaratan, Norazman mengucapkan penghargaan kepada semua penumpang yang pernah menaiki penerbangan Jetstar Asia.
“Anda bukan sekadar memenuhi tempat duduk kami, tetapi juga hati kami,” katanya sambil menahan sebak.
Juruterbang penerbangan tersebut, Kapten Mark Yeo, 53, turut membuat pengumuman serupa sebelum pesawat mendarat, disambut sorakan dan tepukan penumpang.
“Perasaannya pahit manis,” katanya kepada ST dari kokpit selepas mendarat.
Beliau berasa amat berbesar hati kerana dapat menerbangkan pesawat terakhir Jetstar Asia setelah berkhidmat sebagai juruterbang di syarikat itu selama 18 tahun.
Wakil ST turut dijemput menaiki penerbangan tersebut.
Pada Jun lalu, Jetstar Asia mengumumkan akan menamatkan operasi pada 31 Julai dan memberhentikan lebih 500 kakitangan, termasuk lebih 100 juruterbang dan hampir 300 kru kabin.
Syarikat induknya, Qantas dari Australia berkata, peningkatan kos dan persaingan sengit di rantau ini menjejaskan keupayaan Jetstar Asia untuk terus menawarkan tambang rendah.
Bagi seorang penumpang yang juga guru dari Hong Kong, Tikka Cheung, 35, penerbangan pertamanya bersama Jetstar Asia berlaku secara tidak sengaja setelah terlepas penerbangan AirAsia ke Kuala Lumpur.
Namun pengalaman itu mencetuskan banyak lagi perjalanan bersama Jetstar Asia.
Apabila mendengar tentang penutupan syarikat penerbangan itu, beliau nekad untuk menaiki penerbangan terakhir demi mengenang memori bersama syarikat itu, katanya kepada ST sebelum menaiki pesawat.
Bersama rakannya, Herman Yip, juga 35 tahun, mereka tiba di Manila pada awal pagi 31 Julai selepas pasangan itu terbang khas dari Hong Kong untuk menaiki penerbangan terakhir Jetstar Asia.
“Ini saat yang sangat menyedihkan,” kata Yip yang juga seorang peminat penerbangan dan petugas syarikat media pelancongan di Hong Kong.
Setibanya di balai ketibaan Changi, kru pesawat disambut bagaikan wira oleh ratusan orang yang menanti, dengan sorakan ‘Jetstar, Jetstar’ bergema bersama tepukan dan pelukan.
Sorakan paling meriah ditujukan kepada Norazman, yang tidak mampu menahan air mata apabila namanya dilaungkan dan dipeluk serta diajak bergambar oleh orang ramai.
Disebabkan kelewatan, sebuah lagi pesawat Jetstar Asia dari Labuan Bajo, Indonesia turut mendarat selepas penerbangan 3K764 dan secara rasmi menutup tirai operasi syarikat penerbangan tersebut.










