NIMES: Sepasang stokin lama milik Raja Pop, Michael Jackson, yang pernah dipakai ketika konsert di selatan Perancis pada 1997 mencetuskan kejutan apabila dilelong pada harga 6,640 pound (RM39,600) dalam satu acara lelongan di Nimes, Perancis baru-baru ini.
Stokin berkilauan itu, yang dihiasi batu kristal, pada asalnya dijangka hanya mencecah harga sekitar 2,500 pound (RM 14 juta) hingga 3,000 pound (RM 16 juta), namun sambutan luar biasa daripada para peminat telah melonjakkan nilai barangan tersebut lebih dua kali ganda daripada anggaran asal.
Menurut laporan Daily Mail, stokin itu telah ditemui oleh seorang juruteknik selepas persembahan Jackson di bandar Nîmes dan sejak itu disimpan dalam bingkai kaca selama 28 tahun.
Walaupun pada asalnya berwarna putih dan dihiasi batu permata yang bersinar, usia hampir tiga dekad menyebabkan warnanya kini agak kekuningan.
Michael Jackson mengenakan stokin putih berkilau sepanjang siri konsert HIStory World Tour pada tahun 1997, yang melibatkan 82 persembahan di 57 bandar raya merentasi 35 buah negara.
Dalam rakaman konsert yang memaparkan nyanyian lagunya Billie Jean, Jackson kelihatan mengenakan stokin berkenaan, menjadikan barangan tersebut cukup istimewa buat peminat fanatik.
“Ini benar-benar objek luar biasa yang boleh dikatakan bersifat kultus bagi peminat Michael Jackson,” kata Aurore Illy, jurulelong yang mengendalikan acara tersebut.
Walaupun penyanyi legenda itu pernah berdepan kontroversi tuduhan mencabul kanak-kanak sebelum meninggal dunia akibat dos ubat berlebihan pada 2009 ketika berusia 50 tahun, barangan peribadinya tetap laku di pasaran. — AGENSI









