SINGAPURA: Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) bersama beberapa pengendali bas di republik itu kini sedang meneliti permohonan daripada pihak Malaysia untuk memulakan operasi perkhidmatan bas rentas sempadan dari Johor Bahru seawal pukul 4 pagi.
LTA dalam kenyataan kepada The Straits Times pada 29 Julai lalu memaklumkan agensi tersebut menerima permintaan rasmi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (APAD) pada 17 Jun, dan kini sedang bekerjasama dengan para pengendali bas bagi menilai kesesuaian pelaksanaan permintaan tersebut.
Pengendali terbabit merangkumi syarikat bas awam seperti SBS Transit (SBST) dan SMRT, selain beberapa pengendali swasta lain.
APAD dilaporkan sedang berunding dengan LTA supaya perkhidmatan bas rentas tambak dapat dimulakan sejam lebih awal daripada jadual biasa, iaitu pada pukul 4 pagi berbanding 5 pagi ketika ini.
Ketika ini, SBST mengendalikan perkhidmatan bas 160 yang bermula dari CIQ Johor Bahru seawal pukul 5 pagi pada hari bekerja dan 5.50 pagi pada hujung minggu atau cuti umum.
Sementara itu, perkhidmatan 170 dari Terminal Larkin ke Terminal Queen Street di Singapura bermula seawal pukul 5.20 pagi pada hari bekerja dan 5.30 pagi pada hujung minggu.
Perkhidmatan tambahan 170X pula beroperasi hanya pada sebahagian laluan 170, dengan perjalanan pertama dari Johor Bahru bermula pada pukul 8.28 pagi setiap hari bekerja.
SMRT pula mengendalikan bas 950 yang merentasi Tambak Johor dari CIQ Johor Bahru ke Hentian Bas Sementara Woodlands.
Walaupun waktu perjalanan dari Johor Bahru tidak diumumkan secara rasmi, perkhidmatan dari Woodlands ke Johor Bahru bermula seawal pukul 5.30 pagi setiap hari.
Beberapa pengendali swasta lain seperti Singapore-Johore Express, Ridewell Travel dan Transtar Travel turut menyediakan perkhidmatan dari Terminal Larkin dan CIQ ke Singapura.
Walaupun pengendali swasta lebih fleksibel menyesuaikan waktu operasi, mereka masih perlu memastikan keuntungan mencukupi untuk menampung kos.
Sementara itu, sistem Transit Aliran Ringan (RTS) Johor Bahru–Singapura dijangka beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari apabila mula beroperasi menjelang akhir tahun 2026. -AGENSI










