Seoul lepas tembakan amaran selepas tentera Korea Utara ceroboh sempadan - Utusan Malaysia

Seoul lepas tembakan amaran selepas tentera Korea Utara ceroboh sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan melepaskan tembakan amaran ke arah sekumpulan tentera Korea Utara yang menceroboh sempadan dikawal ketat awal minggu ini, menurut kenyataan Seoul pada Sabtu’

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Pyongyang berhubung insiden itu berisiko mencetuskan ketegangan yang “tidak terkawal”.

Pemimpin baharu Korea Selatan, Lee Jae Myung, sebelum ini berikrar untuk menjalin hubungan lebih mesra dengan Korea Utara yang memiliki senjata nuklear, serta membina “kepercayaan ketenteraan”, namun Pyongyang menegaskan ia tidak berminat untuk memperbaiki hubungan dengan Seoul.

Pihak tentera Korea Selatan memaklumkan bahawa beberapa tentera Korea Utara melintasi sempadan pada Selasa ketika sedang melakukan kerja di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang penuh dengan periuk api dan memisahkan kedua-dua negara.

“Pencerobohan itu menyebabkan tentera kami melepaskan tembakan amaran,” menurut kenyataan Ketua Turus Bersama Korea Selatan, yang turut menyatakan bahawa “tentera Korea Utara kemudiannya bergerak kembali ke arah utara” melintasi sempadan de facto itu.

Media rasmi Pyongyang pada Sabtu menyatakan kejadian tersebut berlaku ketika tentera Korea Utara sedang berusaha untuk menutup sempadan secara kekal, berdasarkan kenyataan Leftenan Jeneral Ko Jong Chol dari Tentera Rakyat Korea.

Menyifatkan insiden itu sebagai “provokasi yang dirancang dan disengajakan”, Ko mendakwa bahawa tentera Korea Selatan telah menggunakan mesingan dan melepaskan lebih 10 das tembakan amaran ke arah tentera Korea Utara, menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

“Ini adalah permulaan yang sangat serius yang secara tidak dapat dielakkan akan menolak situasi di kawasan sempadan selatan, di mana sejumlah besar tentera berdepan satu sama lain, ke dalam fasa yang tidak terkawal,” kata Ko.

Konfrontasi sempadan terakhir antara kedua-dua musuh tradisi ini berlaku pada awal April, apabila tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran selepas sekitar 10 tentera Korea Utara didapati melintasi sempadan buat seketika.

Tentera Korea Utara sebelum ini mengumumkan pada Oktober tahun lalu bahawa mereka akan menutup sepenuhnya sempadan selatan, dan telah menghantar mesej kepada tentera Amerika Syarikat bagi “mengelakkan salah faham dan konflik tidak sengaja”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×