LONDON: Pemimpin-pemimpin Eropah berdiri teguh menyokong Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam pertemuan beliau bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Washington, menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Pertemuan itu bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Zelensky ketika Trump semakin menekan Kyiv supaya menerima perjanjian damai bagi menamatkan perang paling berdarah di Eropah dalam tempoh lebih 80 tahun.
Trump dilaporkan memberi tekanan kepada Zelensky untuk mencapai persetujuan damai selepas beliau bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Alaska.
Trump lebih cenderung menyokong pendekatan Moscow, yang mahu perjanjian damai didahulukan berbanding gencatan senjata. Trump dan Zelensky dijadualkan bertemu hari ini.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam temu bual bersama program Face the Nation terbitan CBS, berkata jika keamanan tidak dapat dicapai dan perang ini berterusan, ribuan nyawa akan terus melayang.
“Malangnya, kita mungkin sampai ke tahap itu, tetapi itu bukan yang kita mahukan,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran di media sosial semalam, Trump berjanji akan membawa “kemajuan besar dalam isu Russia”, namun tidak memperincikan kenyataan itu.
Menurut sumber yang mengetahui pendirian Moscow kepada Reuters, Trump dan Putin membincangkan cadangan di mana Russia akan melepaskan sebahagian kecil wilayah Ukraine yang didudukinya, sebagai pertukaran untuk Ukraine menyerahkan lebih banyak wilayah strategik di timur (kubu kuat Donbas) serta menghentikan operasi ketenteraan di garisan hadapan kawasan lain.










