Projek padang golf Trump di Vietnam dikecam, petani diberi beras sebagai pampasan

Projek padang golf Trump di Vietnam dikecam, petani diberi beras sebagai pampasan

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Petani di Vietnam yang tanah pertanian mereka akan diratakan untuk pembinaan padang golf milik keluarga Trump bernilai AS$1.5 bilion (RM6.3 bilion), hanya ditawarkan bekalan beras serta pampasan tunai serendah AS$12 (RM50.80) bagi setiap meter persegi tanah oleh pihak berkuasa negeri.

Menurut Reuters, ribuan penduduk kampung akan menerima pampasan berdasarkan keluasan dan lokasi tanah. Beberapa petani warga emas yang ditemu bual berkata mereka bimbang sukar mencari punca rezeki baharu selepas dipindahkan.

Projek padang golf berskala besar yang merupakan projek pertama Trump Organization di Vietnam mula dibangunkan ketika negara itu berusaha mencapai perjanjian perdagangan penting dengan Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh berkata projek ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dengan AS dan menegaskan penduduk akan diberi pampasan selain berharap pembangunan tersebut dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Projek itu merangkumi padang golf VIP 54 lubang, resort mewah, vila berkelas tinggi dan kompleks bandar moden.

Namun, reaksi penduduk bercampur-baur, dengan ramai petani menyifatkan kadar pampasan terlalu rendah.

Akhbar The New York Times pada Mei melaporkan projek ini mendapat kelulusan pantas luar biasa dan dibenarkan memulakan kerja walaupun sekurang-kurangnya enam prosedur wajib termasuk kajian alam sekitar, belum dilaksanakan, namun dinafikan oleh Rumah Putih.

Pembangunan padang golf di wilayah Hung Yen, selatan Hanoi ini merupakan usaha sama antara Trump Organization dan syarikat hartanah Vietnam, Kinh Bac City.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN